Akaun 3 KWSP Dah Bermula, Ini Cara Pindahkan Wang Ke Akaun Fleksibel [Video]
Pemindahan wang simpanan ke dalam Akaun Fleksibel boleh dilakukan bermula kelmarin (12 Mei) hingga 31 Ogos 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Buat anda yang tidak tahu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 25 April lalu telah memperkenalkan Akaun 3 kepada para pengguna yang mahu membuat pengeluaran simpanan.
Fungsi utama Akaun 3 itu adalah untuk menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan pengguna dalam jangka masa pendek.
Pemindahan duit ke dalam Akaun 3 ini boleh dilakukan menerusi dua platform iaitu KWSP i-Akaun dan Self Service Terminal (SST) di mana-mana pejabat KWSP bermula kelmarin (12 Mei) sehingga 31 Ogos 2024.
Baca Artikel Berkaitan: KWSP Bakal Perkenal Akaun 3 Bagi Tujuan Pengeluaran Segera
Cara-cara Pindahkan Simpanan Ke Akaun 3 KWSP
Baru-baru ini, seorang lelaki dikenali sebagai Imran Wafi menerusi akaun TikTok (@imrnwfi), telah berkongsi langkah-langkah bagi memindahkan wang simpanan KWSP ke Akaun 3. Berikut adalah cara-caranya:
#1. Log Masuk Ke Aplikasi Atau Laman Web i-Akaun
Yang pertama sekali adalah log masuk ke aplikasi atau laman web i-Akaun. Kemudian, tekan butang ‘Ketahui Lanjut’.
#2. Pilihan Pindahan Wang Ke Akaun 3
Selepas klik ‘Ketahui Lanjut’, pilihan pindahan amaun permulaan akan tertera di skrin anda.
Sekiranya baki dalam Akaun 2 (Akaun Sejahtera) anda melebihi RM3,000, 10 bahagian daripada akaun dipindahkan ke Akaun 3 manakala 5 bahagian akan masuk ke Akaun 1 (Akaun Persaraan).
Namun jika baki kurang dari RM3,000, maksimum sebanyak RM1,000 akan dipindahkan ke Akaun 3.
#3. Klik ‘Pindah Sekarang’
Selepas pilihan pindahan amaun selesai, anda harus klik butang ‘Pindah Sekarang’ yang berada di bahagian bawah skrin. Anda akan melihat beberapa nota peringatan penting buat setiap pengguna yang ingin memindahkan simpanan ke Akaun 3.
Antaranya adalah pemindahan wang ke Akaun Fleksibel itu boleh dilakukan sekali sahaja dan proses pindahan akan mengambil masa 3-5 hari.
#4. Semak Amaun Sebelum & Selepas Pindahan
Anda juga boleh menyemak simpanan sebelum dan selepas pemindahan amaun ke Akaun 3 diluluskan. Jika anda bersetuju dan berpuas hati dengan jumlah berkenaan, pengguna boleh menekan butang ‘Teruskan’ kemudian butang ‘Terima’.
Sejurus semua langkah tersebut dilakukan, anda hanya perlu menunggu wang simpanan dimasukkan ke Akaun 3.
Langkah-langkah Keluarkan Duit Dari Akaun 3
Imran menerusi perkongsian seterusnya turut berkongsi cara-cara keluarkan duit KWSP daripada Akaun 3 yang telah dipindahkan.
Berikut adalah langkah-langkahnya:
- Log masuk ke i-Akaun dan tekan menu ‘Pengeluaran’.
- Tekan ‘Mohon Pengeluaran’ dan klik Akaun Fleksibel.
- Tekan butang ‘Keluarkan Simpanan’ dan masukkan jumlah yang ingin anda keluarkan.
- Tekan Butang ‘Tambah Bank’ dan melengkapkan butiran maklumat mengenai bank anda (jenis bank dan nombor akaun).
- Akhir sekali semak semua maklumat dan tekan butang ‘Terima’ untuk sahkan pengeluaran.
Untuk info, wang akan masuk ke dalam bank pilihan anda selepas 7 hari waktu bekerja.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Golongan Yang Tak Sesuai Buka Akaun Fleksibel KWSP