fbpx
Now Reading
Subsidi Diesel BUDI MADANI: Ini FAQ BUDI Individu, Bantuan Untuk Pemilik Kenderaan Diesel

Subsidi Diesel BUDI MADANI: Ini FAQ BUDI Individu, Bantuan Untuk Pemilik Kenderaan Diesel

Sebanyak RM200 sebulan akan disalurkan kepada pemilik kenderaan diesel yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan seperti warganegara Malaysia, mempunyai cukai jalan sah dan aktif serta banyak lagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari Ini (28 Mei) permohonan untuk program Bantuan Subsidi Madani atau lebih dikenali sebagai BUDI Madani telah pun dibuka mengikut beberapa kategori seperti MySubsidi Diesel, Budi Agri-Komoditi dan juga Budi Individu.

Setiap kategori ini mempunyai peranan yang berbeza di mana MySubsidi Diesel merupakan inisiatif khusus untuk kenderaan awam serta pengangkutan barangan darat yang layak untuk terus mendapatkan subsidi diesel melalui Fleet Card.

Manakala Budi Agri-Komoditi pula adalah bantuan yang memberi fokus kepada golongan petani, penternak serta pekebun kecil yang layak.

Bagi BUDI Individu pula ia adalah subsidi tunai yang disediakan buat setiap individu yang memiliki kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia dan bukan dari golongan T20.

Pemilik diesel yang layak akan diberikan bantuan sebanyak RM200 sebulan.

Menurut laman MOF Malaysia, permohonan yang dibuat sebelum 3 Jun ini dan diluluskan akan menerima bantuan tunai pertama menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Permohonan BUDI Individu ini telah dibuka sepanjang tahun bermula pada hari ini (28 Mei).

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kriteria yang melayakkan seseorang individu untuk menerima subsidi bagi kategori BUDI Individu antaranya:

  1. Pemohon
  • Warganegara Malaysia
  • Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100 ribu dan ke bawah
    berdasarkan data LHDN
  • Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my

2. Kriteria Pemilikan Kenderaan

  • Kenderaan kegunaan persendirian (diesel) individu
  • Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan) aktif
  • Kenderaan diesel diisytiharkan di Semenanjung Malaysia
  • Berdaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan nombor MyKad.

3. Kriteria Tambahan Tidak Layak BUDI Individu

  • Motosikal diesel
  • Kenderaan diesel persendirian berdaftar bagi kegunaan syarikat /
    pertubuhan
  • Kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
  • Kenderaan berdaftar sebagai e-hailing; atau
  • Jenis kenderaan: Karavan, motorhome, van persiaran, dan bas
    persiaran

4. Cara semak kelayakan menerima bantuan BUDI Individu?

Status kelayakan bagi bantuan BUDI Individu akan dimaklumkan selepas pemohonan
selesai membuat permohonan di portal rasmi BUDI MADANI.

Sekiranya tidak diluluskan, dan pemohon memenuhi syarat kelayakan BUDI Individu,
pemohon boleh mengemukakan rayuan atau menghubungi pusat panggilan. Rayuan
akan mulai dibuka pada awal Jun 2024

5. Cara untuk buat pemohonan BUDI Individu?

Permohonan BUDI boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI Individu dengan kaedah berikut:

  • Daftar akaun pengguna
  • Klik pada Mohon Di Sini bagi BUDI Individu
  • Masukkan Maklumat Pemohon seperti berikut:
    • No. Kad Pengenalan (Mykad)
    • No. Telefon Bimbit
    • Nama Bank
    • No. Akaun Bank
    • Alamat e-mel
  • Masukkan Kenderaan Diesel seperti
    • Nombor Pendaftaran Kenderaan
    • Tarikh Luput Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan)
    • Jenama / Model Kenderaan
    • Kelas Kegunaan Kenderaan

6. Tempoh proses sebelum mendapatkan kelayakan?

Permohon boleh membuat semakan status permohonan dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) pemohon.

7. Kaedah pembayaran BUDI Individu ini akan dibuat?

Pembayaran akan dikreditkan ke akaun yang berdaftar dalam sistem BUDI MADANI atau secara tunai di mana-mana Cawangan BSN sekiranya tiada akaun bank.

8. Setelah mendapat kelulusan permohonan, apakah tempoh yang akan diambil untuk menyalurkan bantuan tunai tersebut?

Maklumat lanjut berkenaan tempoh penyaluran bantuan boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

9. Bilakah tarikh pembayaran BUDI Individu akan dibuat?

Maklumat lanjut berkenaan tarikh pembayaran boleh diperolehi dengan menekan
butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

10. Apakah kekerapan pembayaran BUDI Individu ini?

Maklumat lanjut berkenaan pembayaran boleh diperolehi dengan menekan butang
“Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

11. Sekiranya saya tidak mempunyai akaun bank apa yang perlu saya lakukan?

Pemohon yang layak namun tidak mempunyai akaun bank boleh ke mana-mana Cawangan BSN untuk menerima pembayaran secara tunai.

12. Sekiranya Lesen Kenderaan Motor jalan saya tamat tempoh, adakah pembayaran BUDI Individu masih berjalan?

Pembayaran BUDI Individu akan terhenti sehingga individu berkenaan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan).

Pemohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan baharu (sekiranya belum
memohon), atau mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI.

Pembayaran akan dibuat semula apabila semakan data agensi menunjukkan Lesen Kenderaan Motor tersebut aktif.

13. Jika saya lewat mendaftar dari tarikh permohonan dibuka, adakah saya menerima bayaran BUDI Individu untuk bulan-bulan sebelumnya?

Bayaran BUDI Individu hanya akan dibuat mulai bulan permohonan diluluskan. Setelah permohonan dibuat, bantuan tunai akan disalurkan kepada pemohon yang diluluskan mengikut bulan permohonan diluluskan.

Maklumat lanjut berkenaan tarikh pembayaran boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

14. Pendapatan bulanan saya ialah RM5,000 manakala pendapatan suami/isteri saya ialah RM11,000. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Pendapatan pemohon atau pasangan mestilah tidak melebihi RM100,000 setahun.

15. Suami/ Isteri saya merupakan wakil rakyat di kawasan ABC. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu sekiranya saya mempunyai kenderaan diesel?

Wakil rakyat dan pasangan tidak layak.

16. Saya mempunyai sebuah karavan/motorhome/van-bas persiaran yang menggunakan diesel. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Karavan/motorhome/van-bas persiaran tidak menepati kriteria jenis badan kenderaan
diesel persendirian yang layak.

17. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya permohonan ditolak kerana maklumat pendaftaran kenderaan di JPJ tidak selari dengan kegunaan semasa?

Anda perlu hadir ke kaunter JPJ berhampiran untuk mengemas kini maklumat berkenaan. Anda perlu mengemukakan rayuan dan tindakan semakan semula kelayakan akan dibuat selepas maklumat terkini diterima daripada pihak JPJ.

18. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya permohonan ditolak?

Maklumat lanjut berkenaan asas permohonan ditolak boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

Setelah asas diperolehi, pemohon perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengemaskini maklumat peribadi atau maklumat kenderaan sebelum mengemukakan rayuan.

19. Saya gagal untuk mendaftar bagi program BUDI Individu, di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?

Sekiranya gagal mendaftarkan diri atau menerima keputusan tidak diluluskan (dan pemohon memenuhi syarat kelayakan BUDI Individu), pemohon digalakkan untuk mengemukakan rayuan atau menghubungi pusat panggilan.

20. Saya memiliki syarikat perdagangan dan telah menerima fleet card melalui program SKDS 1.0. Adakah saya layak memohon BUDI Individu?

Tidak layak sekiranya permohonan BUDI Individu menggunakan maklumat pendaftaran kenderaan yang sama dengan permohonan di SKDS.

Namun, sekiranya pemohon memiliki kenderaan diesel persendirian, anda masih layak untuk memohon di bawah BUDI Individu, tertakluk kepada syarat kelayakan.

21. Saya telah membuat permohonan fleet card melalui program SKDS 2.0, tetapi belum mendapat sebarang kelulusan. Adakah saya boleh membuat permohonan BUDI Individu?

Fleet card adalah bagi kenderaan 33 jenis badan merangkumi 10 badan bagi SKDS 1.0 dan 23 badan bagi SKDS 2.0, manakala permohonan BUDI Individu adalah untuk pemohon kenderaan diesel persendirian milik individu.

Sekiranya nombor pendaftaran kenderaan berkenaan ditemui dalam rekod SKDS 1.0 atau SKDS 2.0 berdasarkan rekod agensi, anda tidak layak memohon BUDI Individu.

22. Kenderaan saya didaftarkan di Selangor/Semenanjung Malaysia, tetapi Lesen Kenderaan Motor kenderaan kenderaan tersebut dibayar di Sabah/Sarawak memandangkan saya menggunakannya untuk bekerja dan tinggal di Sabah/Sarawak. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Tidak layak. Kriteria semasa hanya layak bagi kenderaan yang digunakan dan Lesen
Kenderaan Motor dibayar di Semenanjung Malaysia sahaja.

23. Saya telah berpindah daripada Sabah ke Selangor dan membawa kenderaan saya yang diisytiharkan di Sabah. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Individu?

Anda layak untuk memohon. Namun, memandangkan LKM kenderaan masih didaftarkan di Sabah, anda perlu mengemaskini maklumat kenderaan di mana-mana cawangan JPJ di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu.

Selepas itu, pemohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan baharu (sekiranya belum memohon), atau mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI atau menghubungi talian bantuan BUDI atau mengemukakan e-mel.

24. Saya telah menerima bayaran BUDI Individu pada 8 Julai 2024 bagi bulan Jun dan Lesen Kenderaan Motor kenderaan saya akan tamat tempoh pada 24 Julai 2024 dan tidak diperbaharui. Adakah saya akan menerima bayaran BUDI Individu bagi bulan Julai?

Tidak. Pembayaran BUDI Individu akan terhenti sehingga individu berkenaan
memperbaharui Lesen Kenderaan Motor dan membuat permohonan semula.

25. Sebagai peniaga pasar malam / usahawan kecil yang menggunakan diesel untuk genset, kenapa saya tidak mendapat bantuan?

Buat masa ini, permohonan BUDI Individu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian milik individu. Sebarang perkembangan dan penambahbaikan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

26. Pendaftaran saya akan sah sehingga bila?

Buat masa ini, tiada tarikh tamat bagi pendaftaran di portal rasmi BUDI MADANI.

27. Adakah bantuan tunai diesel untuk setiap kenderaan atau setiap individu?

Bantuan tunai ini akan disalurkan kepada pemilik kenderaan diesel yang menepati kriteria program BUDI Individu.

28. Siapakah yang saya boleh hubungi sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung BUDI Individu?

Pertanyaan boleh dipanjangkan ke Pusat Panggilan Bantuan Khas Kerajaan (BKK) HASiL atau Talian BUDI MOF bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat di talian berikut:

  • Talian BUDI Individu (BKK HASiL): 1-800-88-2747
  • Talian BUDI Individu (MOF): 03-8882 4565 atau 03-8882 4566.
  • Alamat e-mel : budimadani@treasury.gov.my
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.