“Hanya 5 Saat”- Wanita Dedah Laptop Boleh Kena Hack Jika Tinggalkan Di Tempat Awam [Video]
Menerusi video tersebut, Maisarah turut menunjukkan bagaimana sesebuah laptop boleh digodam dengan mudah sekiranya ditinggalkan di tempat awam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak wujudnya komputer riba tak dinafikan ia banyak memudahkan sesiapa sahaja yang memilikinya untuk melakukan kerja.
Malah sifatnya yang mudah dibawa serta ringan membuatkan ramai memilih untuk membuat kerja mereka di mana-mana sahaja seperti rumah, tempat awam dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, ketika berada di tempat awam anda tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan barang berharga seperti laptop waima mahu ke tandas, mencari buku dan sebagainya.
Wanita kongsi bahaya jika tinggalkan laptop di tempat awam
Ini kerana, baru-baru ini seorang wanita yang sering berkongsi mengenai sekuriti (keselamatan) siber telah mendedahkan risiko yang boleh dialami oleh seseorang sekiranya meninggalkan komputer riba atau laptop di tempat awam.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Maisarah dia telah menunjukkan satu pendrive yang telah dimasukkan virus.
Cucuk pendrive dan dalam masa 5 saat dah berjaya godam laptop
Dia kemudian mencucukkan pendrive berkenaan pada laptop seorang wanita dan dalam masa lima saat laptop berkenaan sudah berjaya digodam.
“Sekarang ni saya dah pun berjaya hack (godam) dia punya laptop. Antara perkara yang saya boleh lakukan adalah boleh mengakses kamera secara langsung (kamera laptop menunjukkan wajah mangsa).
“Nampak tak dia tengah buat kerja macam biasa je tu. Dia tak perasan pun saya sedang akses kameranya daripada jauh. Ha seram tak?
“Jadi kesimpulannya, korang janganlah tinggal korang punya device (alat elektronik) di tempat awam walaupun nak pergi tandas sekejap,” jelasnya dalam video tersebut.
Menerusi semakan kami, wanita berkenaan dipercayai bekerja di sebuah firma keselamatan siber yang menawarkan kursus ‘ethical hacking’ kepada orang ramai.
Muat naik video untuk beri kesedaran
Di ruangan komen Maisarah menjelaskan tujuannya berkongsi video itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak meninggalkan laptop di tempat awam tanpa pengawasan walaupun sekejap.
Dalam pada itu dapat dilihat orang ramai turut bertanya pelbagai soalan kepada Maisarah berkaitan perkongsiannya itu.
Sebagai contoh ada yang bertanya adakah laptop yang ditutup dan mempunyai papan kekunci boleh digodam seperti video? Maisarah lalu menjawab ia tidak dapat dilakukan kepada laptop yang tertutup dan mempunyai ‘screen saver’.
Ini kerana, USB tersebut tidak bertindak sebagai keyboard yang akan menaip ‘command’ pada komputer jadi ia tak boleh dilakukan sekiranya dikunci.
Ada juga yang mencadangkan orang ramai untuk menutup kamera laptop agar wajah tidak didedahkan sekiranya digodam. Namun Maisarah mengatakan pelaku tidak hanya boleh mengodam kamera bahkan perkara yang lain juga seperti data, gambar dan banyak lagi.
Malah laptop yang digodam juga boleh diakses di mana-mana sahaja meskipun pelaku dan mangsa berada di kawasan berbeza.
Dalam satu lagi video, dia turut berkongsi bahaya yang ramai pengguna telefon pintar tidak sedar iaitu data yang telah dipadam boleh didapatkan semula dengan menggunakan alatan atau software khas.