fbpx
Now Reading
Apakah Hukum Jika Terlintas Nak Buat Maksiat? Ini Penjelasan Dr Kamilin [Video]
dr kamilin perjelas hukum terfikir untuk buat maksiat

Apakah Hukum Jika Terlintas Nak Buat Maksiat? Ini Penjelasan Dr Kamilin [Video]

Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis Dr Kamilin Jamilin berkata, perbuatan terfikir dalam hati untuk melakukan maksiat adalah sesuatu yang tidak boleh dikawal oleh manusia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui sebagai seorang manusia, adalah lumrah bagi kita untuk melakukan sesuatu yang melalaikan. Kadangkala kita tidak sedar bahawa perbuatan yang dianggap remeh sebenarnya membawa kepada dosa.

Sebagai contoh, ramai yang tidak menyedari bahawa mereka terkecimpung dalam perbuatan maksiat. Ada yang melakukannya secara terbuka dan ada juga yang tersembunyi.

Antara contoh maksiat adalah seperti meninggalkan perintah Allah SWT, mendedahkan aurat, menghisap rokok, tidak menjaga ikhtilat, membuka aib diri sendiri dan sebagainya.

Baca Artikel Berkaitan: Jaga Ikhtilat, Suami Boleh Halang Isteri Sertai ‘Team Building’ Jika Bercampur Dengan Lelaki – Mufti PP


Dr Kamilin Kongsi Hukum Seseorang Terfikir Untuk Buat Maksiat

Baru-baru ini, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin menerusi satu hantaran di laman TikTok telah menjelaskan mengenai hukum seseorang yang teringat atau terlintas tentang sesuatu maksiat dalam hati.

“Dalam bab hati dan fikiran ni kita kena tahu bezakan antara lintasan dan keazaman untuk berbuat sesuatu. Lintasan ni sesuatu yang kita tiba-tiba terfikir. Contohnya kita nak buat sesuatu maksiat atau terbayang itu dan ini,” ujar beliau.

Menurut Dr Kamilin, perbuatan terfikir tentang maksiat adalah tidak berdosa kerana ia tidak boleh dikawal oleh manusia.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسُهَا مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ بِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memaafkan untuk umatku terhadap apa yang terlintas di hati mereka, selagi mereka tidak melakukan atau mengucapkannya.

[Sahih Muslim (127)]

Ulas beliau lagi, jika anda tidak membuat sebarang tindakan atau hanya sekadar terlintas dalam hati maka ia tidak dikira berdosa.

“Cuma kalau sampai dah tahap nak melaksanakan maksiat yang dia terfikirkan itu, andai kata dia tak sempat buat pun (contoh) mati tengah jalan, itu dikira berdosa. Sebab pasang azam ini kita dah pilih untuk melaksanakannya.

“Contoh kalau kita terfikir nak merompak. Terfikir tu tak berdosa lagi tapi lepas tu kita rancang, berazam dan bertekad nak merompak seseorang kemudian dalam perjalanan tu kita kemalangan lalu mati, yang itu dikira berdosa,” ujar beliau.


Bertekad Untuk Lakukan Maksiat Adalah Pilihan Manusia

Tambah Dr Kamilin, keazaman seseorang untuk melakukan sesuatu maksiat adalah pilihan diri sendiri yang akhirnya akan membawa kepada kemudaratan.

Nabi SAW bersabda:

إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ قَالَ فَقُلْتُ: أَوْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ قَدْ أَرَادَ قَتْلَ صَاحِبِهِ

Maksudnya: “Bila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh berada di dalam neraka. Aku (Abu Bakrah) pun bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh (memang patut dimasukkan ke dalam neraka), bagaimana pula dengan orang yang dibunuh? Nabi s.a.w. menjawab: ‘Sesungguhnya dia mahu membunuh temannya”.

[Riwayat al-Bukhari, no. 14]

@drkamilinjamilin 💡 Berdosa Ke Kalau Cuma Terlintas / Terfikir Nak Buat Maksiat? #IlmuSunnah ♬ original sound – Dr. Kamilin Jamilin

Kesan Buruk Maksiat Kepada Manusia

Sebelum ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menjelaskan tentang kesan buruk dan pengaruh maksiat kepada diri sendiri.

Antaranya adalah seperti berikut:

  • Terhalang dari mendapat ilmu.
  • Merasa jauh dari rahmat Allah SWT.
  • Rasa terpinggir dari hubungan sesama manusia.
  • Segala urusan menjadi sukar dan sulit.
  • Hati menjadi gelap.
  • Terhalang daripada terus melakukan ketaatan kepada Tuhan Yang Maha Esa.
  • Memendekkan jangka hayat seseorang.
  • Rasa bangga dengan maksiat.
  • Mendapat penghinaan dari Allah SWT.
  • Lemahkan akal fikiran.
  • Terhalang daripada mendapat doa Nabi dan malaikat.
  • Kehilangan banyak nikmat.

Oleh disebabkan itu, sesiapa yang telah terjerumus dalam perbuatan maksiat perlulah bertaubat agar Allah SWT mengampuni segala kesalahan dilakukan sebelum ini.

Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib. Allah SWT berfirman:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

[Surah al-Nur: 31]

Baca Artikel Berkaitan: Tularkan Gambar Pelaku Maksiat Dengan Niat Beri Pengajaran, Apa Hukumnya?

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu e-Hailing Beragama Islam Tidak Boleh Hantar Penumpang Ke Tempat Maksiat -Dr Zulkifli Al Bakri

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.