Apakah Hukum Umat Islam Kumpul Patung Labubu?
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, berkata patung yang saiznya tidak kecil atau bukan mainan kanak-kanak termasuk dalam kategori haram.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak kebelakangan ini, seolah-olah sudah menjadi trend dalam kalangan anak muda untuk mengumpul koleksi anak patung yang dijadikan sebagai perhiasan.
Salah satu jenama patung tersebut yang pasti dikenali ramai adalah Labubu yang merupakan sejenis makhluk dalam cerita yang diinspirasikan daripada mitologi Nordik.
Namun, satu perkara yang menimbulkan persoalan, apakah hukum sekiranya Labubu dimiliki oleh seorang Islam?
Kumpul Patung Labubu Perkara Syubhah
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, menegaskan bahawa mengumpul patung Labubu dan menghiasinya pada beg termasuk dalam perkara yang syubhah.
Kesimpulan itu dibuat selepas mengambil kira pendedahan tentang asal usul patung tersebut.
Tambah Jamali, pembelian patung Labubu juga mempunyai unsur pembaziran kerana termasuk dalam perkara tidak berfaedah.
Haram Guna Patung Yang Disembah
Dalam pada itu, beliau mengulas bahawa menggunakan patung yang disembah adalah haram menurut ijmak ulama.
Namun katanya, setiap jenis patung dan gambar mempunyai kekhilafan.
“Oleh itu, ulama bersepakat bahawa hukum menyimpan patung adalah haram jika ia adalah patung makhluk yang mempunyai roh seperti manusia, haiwan dan termasuk juga jin,” ujarnya.
Boleh Ada Patung Labubu Jika Tidak Dimuliakan
Di samping itu, patung yang sempurna dan mempunyai anggota badan yang tidak terpotong turut diharamkan, lebih-lebih lagi jika diletakkan di tempat khas atau digantung di tempat yang dimuliakan.
“Patung yang saiznya tidak kecil atau bukan mainan kanak-kanak dan tidak diperbuat daripada bahan yang cepat rosak juga termasuk kategori haram.
“Pada masa sama, patung tersebut mestilah tidak mempunyai unsur lucah, tanda salib, lambang-lambang agama lain dan sebagainya yang haram,” tambah Jamali.
Jamali dalam pada itu berkata adalah harus menyimpan patung Labubu jika dijaga syarat-syarat pengharaman seperti di atas dan tidak dimuliakan.
Lisa Blackpink Sebabkan Kegilaan Labubu
Bagi anda yang tidak mengenali patung Labubu, ia sebenarnya direka oleh pelukis Hong Kong, Kasing Lung, dalam siri ‘The Monsters’.
Diperkenalkan pada tahun 2015, Lung kemudiannya berkerjasama dengan syarikat permainan, Pop Mart, sebelum terhasilnya pelbagai patung dan perhiasan Labubu.
Patung tersebut kemudiannya menjadi kegilaan ramai susulan penyanyi K-pop, Lisa Blackpink, memuat naik gambar Labubu yang dihiaskan pada beg di media sosialnya.
Di laman web Pop Mart, patung Labubu dijual bermula pada harga RM49.80 (siri blind box) dan boleh mencecah sehinga RM399 bagi bersaiz gergasi!
Harus Kanak-Kanak Main Patung Permainan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini menjelaskan bahawa harus jika patung dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:
Maksudnya: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”
Riwayat Al-Bukhari (6130)
Malah, patung permainan bagi kanak-kanak tidak dimuliakan, tetapi mungkin akan rosak dan terputus anggota badannya apabila dimain.
Ustaz Azhar Idrus dalam pada itu menegaskan bahawa haram bagi seorang yang sudah baligh menyimpan patung permainan di dalam rumah.
Jelasnya, malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah seseorang yang mempunyai patung melainkan patung untuk dimain oleh kanak-kanak.
Walaupun begitu, patung tersebut tidak boleh diletakkan sebagai perhiasan ketika tidak dimainkan oleh kanak-kanak.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] UAI Perjelas Haram Orang Dewasa Tidur Dengan Patung Teddy Bear
Baca Artikel Berkaitan: “Patutlah Rasa Berat” – Pelanggan Dakwa Jumpa Abu Mayat Dalam Anak Patung Dijual Di Bundle