fbpx
Now Reading
Individu ‘Culture Shock’ Lepas Pertama Kali Sertai Majlis Kahwin Bangsa Korea

Individu ‘Culture Shock’ Lepas Pertama Kali Sertai Majlis Kahwin Bangsa Korea

Antara budaya yang diamalkan dalam majlis perkahwinan di Korea adalah pemberian wang tunai sebagai hadiah kepada pengantin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Apabila usia semakin menginjak dewasa, pastinya anda akan mendapat banyak jemputan kahwin dari rakan-rakan sekolah, betul tak?

Boleh kata setiap kali hujung minggu mesti ada sahaja kenalan yang akan memuat naik Instagram Story mereka ke majlis perkahwinan seseorang.

Maklumlah semua sudah besar dan kini sedang bersedia memasuki alam perkahwinan bersama pasangan pilihan.

Individu Ini Kongsi Pengalaman Kali Pertama Dijemput Ke Majlis Kahwin Di Korea

Menerusi bebenang dimuat naik di laman X (@asoshiation), wanita dikenali dengan nama Shah ini berkongsi pengalamannya yang buat pertama kali menerima jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan di Korea.

Katanya dia sampai rasa ‘culture shock’ sebab majlis tersebut hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja. Wow!

Antara perkara yang membuatkan dia seolah-olah mengalami kejutan budaya ketika di sana adalah:

#1. Jemputan kahwin
Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Bagi masyarakat Korea, jemputan kahwin yang diberi menerusi pesanan mesej secara atas talian dikira sebagai perbuatan yang kurang beradab.

Jadi pasangan yang bakal berkahwin itu akan belanja makan keluarga dan rakan-rakan yang mereka mahu jemput je majlis perkahwinan.

Senang kata kalau pasangan tersebut ada 50 orang kawan, jadi mereka akan keluar makan dengan 50 orang itu secara berasingan bagi membolehkan mereka memberi kad jemputan secara peribadi.

#2. Pengurusan masa
Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Perkara pertama yang membuatkan pengguna X ini tersedar adalah masa majlis tersebut bakal berlangsung. Ini kerana waktu yang ditulis pada kad jemputan betul-betul spesifik iaitu sekitar jam 2:40 petang.

Jelas rakannya, Yeonji yang turut menghadiri majlis berkenaan, pengurusan masa seperti itu adalah perkara biasa di dewan kahwin Korea kerana akan ada majlis lain pula pada jam 3:40 petang kemudiannya.

#3. Kehadiran Tetamu
Sumber: X @asoshiation/ Pexels

Tetamu yang hadir boleh masuk ke dalam bilik menunggu untuk bergambar dengan pengantin perempuan. Kebiasaannya pengantin perempuan akan menunggu dalam bilik tersebut kira-kira 40 minit.

Fun fact: Macam mana nak kenal mana satu ibu pengantin perempuan dan lelaki? Ibu kepada pengantin perempuan biasanya akan pakai Hanbok dengan tona warna peach atau merah jambu manakala mak kepada pengantin lelaki pula akan pakai Hanbok berwarna biru cerah.

#4. Hadiah Kahwin Wang Tunai
Sumber: X @asoshiation

Tetamu yang dijemput ke majlis perkahwinan di Korea katanya kena bagi hadiah kahwin kepada pengantin dalam bentuk wang tunai untuk membolehkan anda menikmati hidangan bufet di acara tersebut.

Berapa jumlah yang perlu diberi kepada pengantin? Ia bergantung kepada tempoh anda berkenalan dengan pengantin.

Makin lama anda kenal dengan pengantin, makin mahal jumlah minimum hadiah wang tunai yang dihulur.

Wang tunai itu kemudiannya perlu dimasukkan ke dalam sampul surat dengan menulis nama anda sebelum diserahkan di kaunter.

Jangan salah kaunter ya. Kalau anda kenal dengan pengantin perempuan, sampul itu perlu diberikan di kaunter pengantin perempuan dan sama juga jika anda dijemput oleh pengantin lelaki.

Selepas sampul wang tunai diberikan, barulah petugas akan memberikan baucar hidangan bufet.

#5. Upacara Perkahwinan
Sumber: The Knot/ X @asoshiation

Majlis dimulakan dengan kedua-dua ibu pengantin perempuan dan lelaki jalan bersama memasuki dewan sebelum tunduk hormat beberapa kali kepada tetamu yang hadir.

Kemudian, mereka berdua akan menghidupkan api lilin sebagai simbol bermulanya upacara perkahwinan.

Selepas itu, pengantin lelaki pula akan jalan memasuki dewan seorang diri sehingga ke penghujung. Tidak lama kemudian, pengantin wanita dan ayahnya pula berjalan menuju ke pengantin lelaki tersebut.

Acara diteruskan dengan pasangan terbabit melafazkan sumpah dan bertukar cincin. Katanya tak sampai 20 minit semuanya sudah selesai.

#6. Jenis hidangan bufet
Sumber: X @asoshiation

Difahamkan hidangan bufet di majlis perkahwinan ini ada pelbagai jenis. Bagi acara yang dihadiri ini, makanan yang dijamu di atas meja perlu dikongsi dengan tiga hingga empat orang tetamu yang lain.

Tetapi hanya hidangan utama sahaja yang tidak perlu dikongsi.

Waktu tetamu sedang menjamu selera, pengantin akan menukar pakaian yang lebih selesa dan bergerak ke setiap meja untuk mengucapkan terima kasih kepada para tetamu yang hadir ke majlis mereka.

Selepas itu, tetamu beransur pulang.

Menarik rupanya dapat belajar ilmu baharu tentang upacara perkahwinan oleh bangsa lain.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.