Sah Atau Tidak Ambil MC Daripada Aplikasi Teleperubatan?
Teleperubatan ini membolehkan penjagaan kesihatan dilakukan secara jarak jauh di mana doktor boleh merawat pesakit pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dulu kalau ada barang dapur yang sudah habis, ramai yang akan berpusu ke kedai runcit atau pasar raya untuk membeli barangan tersebut.
Tetapi di zaman teknologi ini, hampir semua perkara boleh dilakukan secara atas talian. Gula sudah habis, pesan sahaja menerusi aplikasi seperti Grab atau foodpanda.
Senang kata, urusan tersebut boleh dilakukan tanpa perlu bersemuka secara fizikal. Segalanya di hujung jari!
Wujud Aplikasi Teleperubatan Untuk Ambil Sijil Cuti Sakit Secara Online
Arus kemodenan ini juga telah semakin berkembang sehingga anda boleh mendapatkan rawatan perubatan tanpa perlu ke klinik dengan adanya aplikasi teleperubatan seperti Doctor Anywhere, ManaDr, and MyHealth360.
Melalui aplikasi ini, pesakit boleh mendapatkan diagnosis dari doktor berdaftar, menerima ubat dan juga sijil perubatan (MC) sekiranya memerlukan.
Macam Mana Aplikasi Teleperubatan Ini Berfungsi?
Teleperubatan ini membolehkan penjagaan kesihatan dilakukan secara jarak jauh. Pendek cerita, doktor boleh merawat pesakit pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi dengan menggunakan telefon pintar atau komputer.
Pesakit hanya perlu memberitahu simptom yang dialami melalui interaksi video dan audio bagi membolehkan doktor melakukan diagnosis berdasarkan apa yang dilaporkan oleh pesakit mereka, memberikan perundingan dan ubat serta MC jika diperlukan.
Semak bagaimana Doctor Anywhere berfungsi dengan klik [DI SINI].
Teleperubatan Adalah Sah Di Malaysia Tetapi Mempunyai Undang-undang Yang Mengawalnya
Walaupun khidmat teleperubatan adalah dibenarkan secara sah, tetapi penggunaannya masih dikawal dengan peraturan.
Undang-undang tersebut bertujuan untuk melindungi privasi pesakit, serta membendung penyalahgunaan perkhidmatan, seperti pesakit yang meminta MC apabila mereka sebenarnya tidak sakit.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Singapura pula sedang berusaha untuk mengetatkan peraturan mengenai pengeluaran MC.
Ini kerana mereka menerima maklum balas daripada pelbagai majikan dan agensi kerajaan mengenai pengeluaran sijil sakit berlebihan berikutan wujudnya perundingan perkhidmatan perubatan pesakit luar, khususnya telekonsultasi.
Akta Teleperubatan 1997
Akta Teleperubatan 1997 (TA) adalah undang-undang Malaysia yang mengawal selia amalan teleperubatan. Ia telah diluluskan oleh parlimen pada tahun 1997 tetapi tidak pernah dikuatkuasakan.
Firma guaman Wong & Partners menerbitkan laporan pada 11 November mengumumkan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memansuhkan TA.
Laporan itu juga menjelaskan justifikasi dan kesan pemansuhan yang termasuklah melibatkan perkara-perkara berikut:
- TA tidak meliputi kepelbagaian amalan semasa dan trend global teleperubatan.
- Pindaan TA adalah tidak cekap berbanding dengan menggubal undang-undang baharu yang lebih komprehensif dan inklusif untuk amalan teleperubatan.
- Perundangan sedia ada boleh dikuatkuasakan untuk amalan teleperubatan, seperti Akta Perubatan 1971, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan Garis Panduan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengenai Teleperubatan.
“Memandangkan TA tidak pernah beroperasi, seharusnya tiada kesan segera kepada penyedia penjagaan kesihatan dan orang ramai mengenai pemansuhannya,” kata laporan itu.
Patut Ke Anda Guna MC Yang Dikeluarkan Oleh Aplikasi Teleperubatan Ini?
Dari segi undang-undang, ia adalah sah tetapi risikonya perlu ditanggung sendiri. Melihat Singapura sebagai contoh, terdapat laporan individu yang menyalahgunakan perkhidmatan teleperubatan.
MalayMail melaporkan terdapat beberapa doktor di Singapura menyatakan kesukaran dengan pesakit yang menyalahgunakan sistem atau meminta MC tanpa alasan kukuh.
Menurut saluran media yang berpangkalan di Singapura iaitu CNA, segelintir doktor menceritakan wujud pesakit yang bengang apabila disoal tentang sejarah perubatan mereka atau kekerapan mereka mendapatkan sijil cuti sakit.
Seorang doktor yang berpengalaman dalam platform seperti Doctor Anywhere dan ManaDr berkata mereka telah melihat kes di mana pesakit secara terang-terangan mengatakan bahawa mereka menghabiskan MC.
Bukan itu sahaja, ada juga pesakit yang cuba untuk mendapatkan MC ketika mereka berada di luar negara selepas ia keberadaan mereka itu disahkan dengan bantuan geotag.
Penyalahgunaan perkhidmatan teleperubatan ini boleh menjejaskan kesediaan majikan untuk menerima MC yang dikeluarkan oleh aplikasi berkenaan.
Secara konklusinya, semuanya bergantung kepada pesakit. Tetapi sijil sakit yang diperolehi dengan pergi ke klinik dan berjumpa dengan doktor secara fizikal adalah MC yang sememangnya sah.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Ambil MC, Tapi Selamba Keluar Jalan-jalan?
Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Kalau Terima MC Ketika Sedang Cuti Tahunan?
Baca Artikel Berkaitan: Individu Beli MC Palsu Dianggap Satu Kesalahan Rasuah – SPRM