Ketum… Bermanfaat Atau Memudaratkan
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Persepsi masyarakat tentang keburukan daun ketum perlu dihentikan kerana hakikatnya, tanaman itu mempunyai potensi besar untuk diketengah dan dikembangkan.
Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, negara perlu menggunakan sumber tanaman ketum yang terdapat di sini dan memanfaatkan kelebihannya, sekaligus menjadi pemain utama dalam industri penanaman dan pemprosesan daun ketum.
Antara kebaikan utama ketum ialah dalam industri perubatan, di mana ia berpotensi dijadikan pelbagai jenis ubat seperti ubat penenang dan ubat tahan sakit.
Bukan itu sahaja, ketum juga boleh menjadi sumber pendapatan penduduk kawasan luar bandar, malah mampu menyumbang ratusan juta kepada pendapatan negara, memandangkan ia punya permintaan yang sangat tinggi dari negara luar.
“Pelbagai agensi antaranya Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia telah membuat kajian selama hampir 10 tahun, dan hasilnya menunjukkan daun ketum baik untuk dibuat percubaan R&D. Malah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga kata ia baik untuk menyelesaikan masalah ketagihan dadah.
“Penduduk kampung yang tanam daun ketum juga dapat manfaat kerana mereka boleh jual dan tambah pendapatan, memandangkan harga daun ketum sekarang tinggi. Negara juga akan beroleh pendapatan,” kata Zahidi ketika ditemui dalam sesi taklimat khas yang memfokuskan pada hasil kajian berkenaan manfaat daun ketum, di ibu negara.
Sesi taklimat dua jam itu dihadiri kira-kira 30 wakil dari agensi kerajaan, dengan taklimat diberikan oleh pasukan pengkaji dari beberapa agensi, antaranya Universiti Sains Malaysia dan AADK.
Sumber : Awani