Tak Fikir Panjang, Terus Terjun Ke Laut
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Rasa kasihan melihat mangsa menjerit meminta tolong mendorong seorang anggota polis bantuan terjun ke laut dari ketinggian kira-kira 20 meter dari Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah (JAHMS).
Zaidi Salleh, 52, berkata beliau menganggap mangsa wanita berusia 28 tahun yang cuba membunuh diri dengan terjun di Kilometer 9.9 JAHMS di sini, pagi tadi sebagai anak sendiri, sekali gus mendorongnya nekad untuk terjun menyelamatkannya.
Katanya, beliau mendapat panggilan dari seorang rakannya yang bertugas meronda jambatan itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan terkapai-kapai meminta tolong.
“Tak sampai hati saya melihatnya, lalu mengambil keputusan untuk terjun dari ketinggian antara 18 hingga 20 meter asalkan nyawa wanita itu dapat diselamatkan, saya memang tidak fikir panjang ketika itu,” katanya ketika dihubungi NSTP sebentar tadi.
Zaidi, yang berasal dari Permatang Batu, Permatang Pauh dekat sini, memberanikan dirinya berikutan mempunyai pengalaman dan kepakaran berenang dalam tempoh lama di laut lebih 20 tahun ketika bertugas sebagai tentera udara dan komander suatu ketika dahulu.
“Syukur dengan kelebihan yang dianugerahkan kepada saya dapat berbakti dan menolong mereka yang memerlukan pertolongan.
“Saya tahu mangsa tidak sedar apa yang dilakukannya kerana berada dalam keadaan yang amat tertekan, jika tidak, dia tidak menjerit ketakutan seperti itu,” katanya.
Tambah Zaidi, beliau berada bersama mangsa di tengah lautan itu hampir 45 minit sementara menunggu bantuan daripada agensi penyelamat tiba dan membawa mangsa ke Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan bot nelayan yang berada di lokasi kejadian.
Sumber : BH Online