Now Reading
Barang Kemas, 284 Beg Tangan Mewah dan 72 Bagasi Berisi Wang Tunai Dirampas Di Kediaman DS Najib

Barang Kemas, 284 Beg Tangan Mewah dan 72 Bagasi Berisi Wang Tunai Dirampas Di Kediaman DS Najib

Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin menarik apabila pihak polis berjaya merampas 284 kotak berisi beg tangan mewah jenama Hermes dan Birkin di kondominium Pavilion Residence di ibu negara.

Turut dirampas ialah 72 beg berisi wang tunai pelbagai mata wang asing, barangan kemas, jam tangan serta barangan berharga lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, penemuan itu diperoleh selepas pihaknya menggeledah tiga premis di kondominium milik seorang Tan Sri yang mempunyai kaitan dengan siasatan kes 1MDB.

“Ia merupakan salah satu daripada enam lokasi penggeledahan termasuklah Pejabat Perana Menteri, kediaman rasmi di Putrajaya serta empat kediaman persendirian.

“Nilai rampasan terlalu banyak dan tidak dapat ditafsirkan lagi,” katanya.

Tambah beliau, serbuan yang dilakukan itu selepas pihaknya mendapat waran daripada mahkamah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, akan memaklumkan perkembangannya.

Sepanjang operasi hari kedua ini, polis turut menggunakan mesin kiraan wang dan alat untuk membuka peti besi di kediaman di Taman Duta.

Terdahulu, lima trak polis digunakan bagi membawa barangan rampasan di kondominium itu.

Amar menambah, pemeriksaan  dan rampasan itu adalah sebahagian siasatan ke atas 1MDB dan bukan menyasarkan individu tertentu.

“Tidak wajar untuk saya dedahkan identiti pemilik  (Tan Sri) tetapi pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ada kaitan dengan siasatan ke atas 1MDB,” katanya.

Apabila ditanya sama ada polis telah berjaya membuka peti besi di kediaman Najib di Taman Duta, beliau berkata, usaha masih dilakukan.

Mengenai dakwaan peguam Najib di mana anak guamnya menganggap dia, keluarga dan kakitangan bagai diganggu polis yang memeriksa kediaman di Taman Duta, Amar berkata, pihak polis telah menjalankan tugas secara profesional.

“Motif kami bukan untuk mengganggu sesiapa tetapi ini adalah kes berprofil tinggi dan kami perlu menjalankan siasatan terperinci. Jika pemeriksaan perlu mengambil masa yang lama, ia tetap akan dilakukan. Kami melakukannya dengan penuh teliti,” katanya.

Sebelum ini Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ben Ali membuat laporan polis mengenai pemindahan barangan berjenama peribadi didakwa milik isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia selepas pihaknya menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan bahawa lebih kurang 50 tas tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan dari sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri ke beberapa buah unit kondominium di Pavillion Residence KL.

Berdasarkan gambar laporan polis yang tular, setiap satu tas tangan tersebut dianggarkan bernilai RM200,000 ke atas.

Sumber : Mstar

View Comments (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.