
Kisah Tun M Akan Dijadikan Filem Bollywood?
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang produser Bollywood merancang pembikinan filem mengenai kemenangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjawat kembali jawatan Perdana Menteri Malaysia, dan menggambarkan beliau sebagai penyelamat dalam kempen memerangi rasuah.
Raman Kumar, 73, berkata filem itu akan memberi tumpuan kepada intrik politik dan bagaimana Dr Mahathir menggunakan akal budi, kebijaksanaan dan pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri, dari tahun 1981 hingga 2003, untuk berkempen atas platform anti rasuah untuk menerajui negara, sekali lagi.
“Saya mahu mengarahkan dan menghasilkan filem ini kerana Dr Mahathir, pada usia 92 tahun, dapat membawa rakyat Malaysia supaya bersama-sama dengan apa yang terbukti sebagai pilihan raya kemenangan (bagi beliau dan pakatannya). Beliau memang memiliki kekuatan, keinginan dan ketabahan yang mengagumkan,” katanya kepada BERNAMA.
Dengan tajuk filem yang dirancang bertajuk ‘Mahathir Penyelamat Malaysia’, filem itu akan dirakamkan dalam bahasa Hindi dan dialih suara ke Bahasa Melayu dan Inggeris.
Dr Mahathir menerajui PH untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya umum 9 Mei, meranapkan gabungan Barisan Nasional yang begitu hebat di bawah pendahulunya Datuk Seri Najib Razak yang sudah meletak jawatan sebagai pengerusi BN.
“Malaysia dilahirkan semula. (Mei adalah hari baharu. Malaysia sudah diberi peluang baharu,” katanya.
Raman, yang tinggal di United Kingdom, Mumbai di India dan juga Malaysia berkata, filem itu akan menampilkan pelakon Malaysia dan sebahagian daripada kru filem dari Mumbai.
Sumber : Harian Metro