fbpx
Now Reading
Tabung Harapan Malaysia kumpul lebih RM7 juta

Tabung Harapan Malaysia kumpul lebih RM7 juta

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

LEBIH RM7 juta sudah dikumpulkan dalam Tabung Harapan Malaysia dalam masa 24 jam sejak ia dibuka oleh kerajaan semalam, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim juga memaklumkan sumbangan kepada tabung berkenaan dikecualikan cukai.

“Jadi simpanlah resit,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Lim juga memberitahu, jumlah dana yang dikumpulkan melalui tabung itu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan setiap hari pada pukul 3 petang.

Setakat pukul 3 Khamis, jumlah terkumpul ialah RM7,075,508.79, katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan sebuah tabung khas yang dibuka membantu menyelaraskan hasrat rakyat menyumbang kepada kerajaan untuk mengurangkan beban hutang negara.

“Kita tidak ada sasaran tertentu untuk Tabung Harapan tetapi kita mahu beri rakyat peluang untuk menyumbang,” kata Lim, mengulas berapakah yang diharapkan dapat dikumpulkan daripada tabung berkenaan.

Menurut Lim, pihaknya terharu dengan kemurahan hati rakyat Malaysia yang menyumbang tanpa henti sejak tabung itu dibuka semalam.

“Sesungguhnya, rakyat Malaysia sudah menunjukkan patriotisme mereka ke tahap yang lebih tinggi, sedia menghulurkan wang untuk membantu membina semula negara yang kita cintai ini,” katanya.

Pada sidang media itu, Lim turut menerima replika cek berjumlah RM13,476.57 daripada graduan undang-undang, Shazarina Bakti, hasil kutipan derma bagi tujuan yang sama, seminggu sebelum ini.

Penubuhan THM mendapat reaksi berbelah bahagi daripada rakyat Malaysia. Ada yang menyokong malah ada juga mengecam dan memperlekehkan kerajaan Dr Mahathir kononnya terpaksa menagih bantuan rakyat.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata pengkritik tabung itu sudah tersalah faham tentang penubuhannya.

Jelas beliau, ada banyak rakyat yang mahu menyumbang kepada kerajaan dan pada masa sama, ada beberapa inisiatif serupa sudah dibuat dan penubuhan tabung itu hanyalah untuk menyelaraskan sumbangan tersebut ke satu saluran rasmi.

Dalam siri kenyataan di Twitter malam tadi, Ong berkata kalau tidak suka dengan idea itu, tidak mengapa, tidak usah menyumbang tetapi jangan kecam orang yang mahu ikut berperanan mengurangkan beban hutang negara.

Kerajaan Dr Mahathir baru-baru ini mendedahkan hutang negara kini mencecah RM1 trilion, termasuk tanggungan tersembunyi yang tidak pernah diumumkan oleh pentabdiran Najib Razak sebelum ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.