fbpx
Now Reading
Rosmah dipanggil ke SPRM Selasa depan

Rosmah dipanggil ke SPRM Selasa depan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

ISTERI bekas perdana menteri Rosmah Mansor dipanggil untuk hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa depan berhubung siasatan berkaitan SRC International.

Menurut sumber, notis perintah agar Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM diserahkan oleh pegawai suruhanjaya berkenaan di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Sumber itu berkata pegawai SPRM meninggalkan kediaman itu dengan membawa sebuah beg dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari kediaman itu.

“Semua pegawai berkenaan meninggalkan kediaman itu pada jam 5.30 petang,” kata sumber.

Bekas perdana menteri Najib Razak minggu lalu memberikan keterangan selama lebih kurang 11 jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dalam rentas dua hari pada 22 dan 24 Mei.

Siasatan terhadap pasangan ini dibuka semula beberapa hari selepas Najib hilang kuasa setelah Barisan Nasional tersungkur dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Beberapa hari selepas Najib hilang jawatan, polis menyerbu beberapa premis yang ada kaitan dengan pasangan itu dan menyita 72 bagasi berisi wang tunai dan barangan kemas serta 284 kotak mengandungi beg tangan berjenama mewah.

Selepas pihak polis membuat pengiraan dengan bantuan pegawai Bank Negara Malaysia dan sebuah bank komersial, wang tunai yang dirampas dianggarkan bernilai RM114 juta dalam pecahan 26 mata wang pelbagai negara, kebanyakannya dalam ringgit Malaysia dan dolar Singapura.

Pentadbiran Dr Mahathir, melalui Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, menubuhkan dua jawatankuasa bagi meneliti dan menyiasat pelbagai aspek berhubung dengan 1MDB.

Pasukan tersebut juga  mendapat kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta penyiasat Singapura bagi menyempurnakan siasatan ke atas kes berkenaan.

Najib dan Rosmah kini disekat ke luar negara dan bekas perdana menteri itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.