fbpx
Now Reading
LHDN Akan Siasat RM2.6 Bilion

LHDN Akan Siasat RM2.6 Bilion

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini menjalankan siasatan semula berhubung wang RM2.6 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata ia susulan pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull dan siasatan yang sedang dijalankan berhubung semua isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Susulan pendedahan dan siasatan berkaitan 1MDB, kedudukan cukai bagi RM2.6 bilion yang diputuskan pada 16 Februari 2016 kini tertakhluk untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pada 16 Februari 2016, LHDN yang ditugaskan untuk menyiasat RM2.6 bilion mendapati, jumlah yang diterima itu adalah bayaran derma dan bersifat sukarela, justeru, ia bukan bercirikan pendapatan.

Katanya, mengikut prinsip am percukaian berhubung pembayaran secara sukarela seumpama itu, ia bukan pendapatan yang tertakluk untuk dicukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pembayaran secara sukarela mungkin berubah cirinya dan tertakluk dicukai jika ia diberikan secara berulang kali, sebagai pertimbangan bagi perkhidmatan diberikan, sebagai balasan bagi sebarang faedah dalam apa-apa bentuk atau jumlah digunakan dalam kegiatan perniagaan bagi membolehkan operasi perniagaan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan perkembangan terbaru berhubung RM2.6 bilion diterima bekas Perdana Menteri, serta wang tunai dan barangan berharga lain yang dirampas dari kediamannya dan premis lain, baru-baru ini.

Sabin berkata, dalam proses menentukan punca sebenar pembayaran itu, LHDN akan bekerjasama rapat dengan semua agensi dan pasukan petugas khas yang terbabit dalam siasatan 1MDB.

Berhubung rampasan wang tunai dan barangan berharga lain daripada kediaman Najib serta premis lain, Sabin berkata, satu notis di bawah Seksyen 78 dan 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah LHDN kepada individu yang ada kaitan dengan barangan rampasan itu.

Beliau berkata, notis itu bertujuan memastikan sama ada pendedahan mengenai pendapatan itu kepada LHDN, sepadan dengan pemilikan aset (wang tunai dan barangan berharga) oleh individu tertentu.

“Dalam keadaan kekayaan itu tidak dapat dijelaskan, cukai tambahan akan dikenakan bersama-sama dengan penalti maksimum iaitu amaun berganda bagi terkurang cukai.

“Kegagalan seseorang untuk mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya. – BERNAMA

Sumber : BH Online

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.