fbpx
Now Reading
Letupan telefon bimbit punca kematian CEO Cradel Fund

Letupan telefon bimbit punca kematian CEO Cradel Fund

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

SEBUAH telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil yang meletup semasa sedang dicas, mungkin menjadi punca kebakaran sebuah bilik tidur semalam yang mengorbankan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Mesej daripada keluarga Allahyarham Nazrin yang kini tular dalam media sosial, memetik seorang ipar lelaki yang mendakwa pada suatu peringkat, telefon itu terlampau panas lalu dan meletup, mengakibatkan trauma tumpul di bahagian belakang kepala yang membawa kepada kematian mangsa.

Tilam turut disambar api, namun ketika ini Nazrin sudah pun tidak bernyawa, kata ipar Allahyarham yang namanya tidak disebut dalam mesej berkenaan.

“Beliau ada dua telefon, satu Blackberry dan satu Huawei. Saya tidak tahu mana satu yang meletup. Siapa sangka prosedur rutin yang tidak berbahaya ini adalah penyebab tiga anak kecil membesar tanpa bapa mereka di sisi,” katanya.

Menurut polis, Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara semalam dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.

Mesej itu turut memuatkan nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengecas telefon bimbit, termasuk mempertimbangkan zon yang selamat untuk berbuat demikian.

“Paling baik, bukan di dalam bilik tidur. Ia jauh lebih berbaloi sungguhpun telefon berada jauh daripada jangkauan,” kata ipar Allahyarham.

Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan  usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia. Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat-syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.