fbpx
Now Reading
‘Kes hampir sempurna’ terhadap Najib, kata Dr Mahathir berhubung siasatan 1MDB

‘Kes hampir sempurna’ terhadap Najib, kata Dr Mahathir berhubung siasatan 1MDB

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

MALAYSIA mempunyai “kes yang hampir sempurna” terhadap Najib Razak dan suspek utama lain dalam skandal 1Malaysia Development Berhad, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temubual dengan Reuters, Dr Mahathir berkata penyelewengan dan rasuah melibatkan dana kerajaan adalah antara dakwaan yang bakal dihadapi oleh bekas perdana menteri itu.

“Penyelewengan, mencuri duit kerajaan, menghilangkan duit kerajaan dan beberapa dakwaan lain. Menggunakan wang kerajaan untuk rasuah. Semua perkara itu.

“Beliau (Najib) bertanggungjawab sepenuhnya untuk 1MDB. Tiada apa yang boleh dilakukan tanpa tandatanganya, dan kita ada tandatangannya pada semua perjanjian yang disertai 1MDB.

“Jadi, beliau bertanggungjawab.”

Dr Mahathir berkata, isteri Najib, Rosmah Mansor, juga disiasat berkaitan skandal berbilion dolar.

“Sebahagian duit itu dipercayai pergi kepada dia, duit yang banyak.

“Kami tahu tentang ini, tetapi untuk menjejak dokumen agak sukar dalam kes ini kerana beliau tidak tandatangan apa-apa kertas. Najib tandatangan banyak kertas.”

Beliau berkata, beliau menjangkakan Malaysia akan membuat penahanan pertama berhubung 1MDB “dalam masa sebulan”, dan perbicaraan akan bermula pada akhir tahun.

Ditanya mengenai sasaran utama lain dalam siasatan itu, Dr Mahathir menjawab: “Jho Low dan beberapa yang lain.”

Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, merupakan pembiaya kewangan dan orang kepercayaan Najib. Beliau merupakan dalang utama dalam skandal 1MDB.

Berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14, yang menyaksikan tamatnya pemerintahan Barisan Nasional selama 60 tahun, Dr Mahathir membuka semula siasatan terhadap 1MDB dan penglibatan Najib dalam operasinya.

Najib kini dihalang daripada meninggalkan negara, polis turut menggeledah hartanah yang berkaitan dengan beliau.

Beliau dan Rosmah turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM18 bilion) diseleweng daripada 1MDB, dengan AS$700 juta daripada jumlah keseluruhan itu disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Najib bagaimanapun secara konsisten menafikan sebarang salah laku. – 19 Jun, 2018

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.