
Tidak Benar Bahasa Mandarin Ganti Bahasa Melayu – Lim
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan kenyataan media rasminya di bawah Kementerian Kewangan sememangnya dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain sekiranya perlu.
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Adalah tidak benar dakwaan bahawa bahasa Mandarin telah menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kementerian Kewangan dan ini boleh dibuktikan dalam laman web rasmi Kementerian Kewangan. “Kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan.
“Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris ataupun sekali-sekala dalam bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Mandarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap isu penggunaan Bahasa Mandarin dalam kenyataan media oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanya sebagai kesilapan kecil yang tidak perlu dibesar-besarkan.
Beliau berkata, kesilapan seperti itu adalah perkara biasa kerana tiada siapa yang tidak pernah membuat kesilapan.
Hadir sama, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Mahathir mengulas mengenai isu penggunaan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi oleh Guan Eng yang hangat diperkatakan hari ini.
Sumber : Harian Metro