
Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 Akan Ditambah Baik
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedia memberi nilai tambah kepada rekaan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang antaranya didakwa tampak tidak profesional dan sangat biasa.
Menterinya Mohammaddin Ketapi berkata pihaknya mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian sekiranya perlu sebelum logo itu digunakan dua tahun dari sekarang.
“Orang kata logo itu dikecam tetapi pada saya ia bukan begitu kerana setiap orang ada sudut pandang sendiri, malah kita ada masa sebelum 2020 untuk menambah baik rekaan sedia ada jika perlu,” katanya pada sidang media sempena pelepasan Lady Bikers Tourism Ride 2018 ke Johor di sini hari ini.
Logo tersebut yang dilancarkan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Chiang Mai, Thailand sempena Asean Tourism pada awal tahun ini mencetus kontroversi apabila netizen memberi respon negatif terhadap rekaan itu selepas dilancarkan.
Mohamed Nazri bagaimanapun mempertahankan logo tersebut sambil bertegas ia akan diguna pakai untuk Kempen Melawat Malaysia 2020, yang menyasarkan kehadiran lebih 36 juta pelancong ke Malaysia serta dijangka mengutip dan meningkatkan pengaliran wang masuk ke dalam negara sebanyak RM168 bilion.
Mohammaddin berkata beliau, bagaimanapun sedia meneruskan dasar dan perancangan kementerian yang dirangka menteri terdahulu sekiranya ia ternyata memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Sumber : Awani