Now Reading
Tun M Beri Amaran Jika Pemimpin Terlibat Rasuah

Tun M Beri Amaran Jika Pemimpin Terlibat Rasuah

Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran akan menamatkan perkhidmatan mana-mana pemimpin yang terlibat dengan perbuatan rasuah serta penyelewengan.

Perdana Menteri menegaskan, ingatan itu turut terpakai kepada semua anggota dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita perlu menunjukkan teladan yang baik. Pemimpin kerajaan sekarang telah diberi amaran dari saya bahawa kalau mereka terlibat rasuah akan dikenakan tindakan.

“Kalau di negara China, pesalah rasuah ini akan ditembak mati. Tetapi mereka tidak setujulah ditembak mati tetapi kalau pegawai kerajaan membuat perkara tidak baik, mereka akan dikeluarkan.

“Tiada perlindungan, kalau buat salah kita tolak kerana kita hendak tunjuk teladan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall Perdana Menteri Bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Program itu menjadi platform kepada PTD untuk memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dan memberi peluang kepada PTD untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat dengan pemimpin tertinggi negara.

Ia selaras peranan PTD selaku peneraju perkhidmatan awam dalam menggalas tanggungjawab dan mendepani cabaran seiring dengan hala tuju pentadbiran kerajaan yang baharu.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, mana-mana pegawai PTD perlu berani menolak permintan untuk melakukan sesuatu yang salah serta bertentangan dengan undang-undang.

Jelasnya, terdapat perbezaan antara arahan yang melibatkan dasar-dasar tertentu berbanding untuk melakukan jenayah.

Sementara itu kata Dr Mahathir, ada unsur hasutan luar yang menyebabkannya masih belum memberikan sepenuh kepercayaan kepada penjawat awam selepas kali kedua memimpin negara ini.

Pada majlis sama, beliau turu mengumumkan frasa ‘Saya yang menurut perintah’ sebelum tandatangan di surat rasmi kerajaan akan ditukar kepada ‘Saya yang menjalankan amanah’.

Sumber : Awani.com
View Comments (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.