fbpx
Now Reading
Benih Awan Disedia Jika Jerebu Kritikal

Benih Awan Disedia Jika Jerebu Kritikal

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) diarah bersiap sedia melakukan pembenihan awan jika keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini berada dalam keadaan kritikal.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata, kementerian akan mengaktifkan proses pembenihan awan bagi memastikan kualiti udara kembali pulih.

“Kita akan merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bagi menggerakkan pesawat tentera atau aset berkaitan untuk melakukan pembenihan awan.

“Jerebu yang melanda negara kini disebabkan pembakaran terbuka di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia selain faktor pembakaran terbuka di sekitar kawasan Johan Setia.

“Oleh itu, kita akan bersiap sedia membuat pembenihan awan namun ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Yeo berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) kini menggunakan teknologi kadar ukuran IPU 2.5 mikrometer (PM2.5).

“Bacaan ini akan dikemas kini dan ia lebih tepat berbanding peralatan jenis PM10 yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa memantau bacaan IPU di laman web APIMS.

“Maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini di seluruh negara boleh diperoleh menerusi laman web apims.doe.gov.my atau memuat turun aplikasi MyIPU di Google Playstore dan App Store,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berkaitan pembakaran terbuka di Johan Setia, Yeo berkata, rancangan pembenihan awan seperti yang dirancang dalam lawatannya kelmarin terpaksa dibatalkan.

“Ia berikutan keadaan awan ketika ini disertai dengan cuaca kering yang menyebabkan air tidak mencukupi untuk membuat pembenihan.

“Kita mengambil langkah mengorek tiga lubang yang tidak mempunyai air. Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) sudah dimaklumkan bagi bantuan lanjut.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada MPK (Majlis Perbandaran Klang) untuk membekalkan sekurang-kurangnya 10 lori tangki bagi memadamkan kebakaran,” katanya.

Yeo berkata, tindakan mengorek lubang itu dilakukan supaya api tidak mudah merebak berikutan keadaan cuaca panas kini.

Sumber : Harian Metro

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.