
Suami Pengasuh Dipenjara 20 Tahun Dan 12 Sebatan – Kes Kematian Adik Zara
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mesti anda masih ingat lagi kes yang melibatkan penderaan seksual dan fizikal oleh suami pengasuh yang meyebabkan kematian terhadap bayi 11 bulan, Adik Zara atau Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal.
Pada 28 November 2018 lalu, suami pengasuh tersebut, Hazmi Majid, 36, telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kajang atas dua tuduhan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.
Menurut Berita Harian, berdasarkan kertas pertuduhan, suami pengasuh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 petang, pada 7 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. Dalam sebuah kenyataan sebelum ini, tertuduh juga telah menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati suspek positif methaphetamine.
Pihak tertuduh membuat rayuan memohon supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan hanya dia sahaja yang bekerja dan perlu menanggung isteri dan 3 orang anak mereka. Walau bagaimanapun, rayuan dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria.
Ini kerana Timbalan Pendakwa Raya mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan mangsa berumur 11 bulan yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri sendiri.
“Tertuduh adalah suami kepada pengasuh mangsa yang sepatutnya turut menjaga dan bukannya mengambil kesempatan ke kanak-kanak itu. Kesalahan terhadap bayi dan kanak-kanak juga semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.
Adik Zara yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya dan meninggal dunia pada 9 November 2018 setelah 2 hari berada dalam keadaan kritikal. Selepas pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan serta dubur mangsa.
Sumber: Sirap Limau