fbpx
Now Reading
Surat terbuka Rafizi kepada KJ

Surat terbuka Rafizi kepada KJ

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

SAUDARA Khairy.

Saya pasti saudara menerima banyak mesej hari ini. Saya memilih untuk menghantar mesej yang terbuka kerana kita ada tanggungjawab untuk bercakap secara terus-terang.

Walaupun berita ahli-ahli Parlimen Umno keluar parti beramai-ramai ini sudah berlegar buat seketika, ia tetap mengejutkan. Saya faham kesannya kepada saudara dan rakan-rakan saudara di dalam Umno, kerana kami sendiri pernah melalui ketika ia berlaku kepada PKR tahun 2010 dahulu.

Sudah tentu ada yang menuduh saya menjadi penyokong Umno sekarang, hanya kerana saya menyebut ‘saya faham kesannya kepada saudara’.

Tidak ada pemimpin yang sayangkan partinya dan perjuangan yang diangkat oleh partinya, yang tidak terkesan apabila wakil rakyat (yang menang atas tiket partinya) keluar parti. Bukan atas alasan prinsip atau berbeza pandangan mengenai dasar yang pokok tetapi kerana menjadi pembangkang (setelah sekian lama menjadi kerajaan) tidak semudah semasa menjadi kerajaan dahulu.

Tujuan saya menulis surat kepada saudara ialah untuk meyakinkan saudara untuk kekal berada di dalam Umno kerana saya percaya rakyat dan negara memerlukan barisan pembangkang yang cekap, cerdik, jujur, amanah dan ikhlas.

Sebuah kerajaan yang terlalu kuat kerana pembangkangnya lemah akan terdorong ke arah pelbagai salah guna kuasa. Kita sudah melaluinya selama 61 tahun.

Kekalahan Umno (walaupun perit kepada pemimpin dan penyokong Umno) memberi peluang kepada Umno untuk melalui pembaharuan. Saya berdoa Umno menginsafi segala masalah yang lalu yang menyebabkan ia ditolak rakyat dan kembali untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sejujurnya.

Saya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan untuk meranapkan mana-mana parti pembangkang. Saya mungkin tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan tindakan atau pendapat parti-parti pembangkang tetapi saya menghargai pentingnya parti pembangkang yang berkesan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

Beberapa hari, minggu dan bulan yang mendatang mungkin mendung buat saudara dan sahabat-sahabat yang ikhlas ingin membantu rakyat atas platform Umno.

Tetapi percayalah, jika saudara berpegang kepada niat untuk berkhidmat dan membela rakyat, pemergian mereka yang meninggalkan Umno ini akan menguatkan Umno.

Dengan syarat pimpinan-pimpinan Umno yang kekal mesti takut kepada ALLAH, menolak rasuah, menyeru ke arah persaudaraan rakyat pelbagai kaum yang membina, berjiwa progresif yang menggalakkan (bukan menidakkan), berkata benar dan benar-benar menjiwai rakyat.

Saudara menjadi harapan ramai orang muda yang mahu melihat politik Malaysia yang lebih baik dan mendamaikan di masa hadapan. Untuk itu, saudara perlu kekal di dalam Umno dan terus bersuara agar Umno menjadi parti pembangkang yang berkesan.

Saya akan dimaki kawan dan lawan kerana berpandangan begini. Tetapi itu peranan orang yang berjiwa bebas seperti kita supaya ada orang yang terus bersuara walaupun pahit.

Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara.

*Rafizi Ramli, Bekas Naib Presiden PKR

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.