fbpx
Now Reading
Kes Denggi Di Tahap Membimbangkan Di Kelantan

Kes Denggi Di Tahap Membimbangkan Di Kelantan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kes demam denggi di Kelantan menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila 2,030 kes direkodkan dalam tempoh 1 Januari hingga 13 Julai tahun ini berbanding 518 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, Kota Bharu merekodkan kes tertinggi demam denggi dengan 730 kes direkodkan diikuti Tumpat (273 kes) dan Bachok (156) dan bakinya di jajahan-jajahan lain.

“Tiga kematian turut direkodkan dalam tempoh sama membabitkan dua kes di Kota Bharu dan satu kes di Bachok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Sihat Kelantan-Terengganu di Hospital Tengku Anis di sini, pada SabtuSeramai 300 peserta mengambil bahagian dalam program berkenaan membabitkan kayuhan sejauh 40 kilometer yang berakhir di Kampung Beting Lentang, Besut, Terengganu.

Dr Zaini berkata, peningkatan kes demam denggi kerana keadaan cuaca tidak menentu. Selain itu, amalan kebersihan di kawasan persekitaran rumah yang tidak dititikberatkan penduduk di lokaliti yang terjejas dengan penularan demam tersebut.

Beliau berkata, keadaan dijangka bertambah buruk antara dua hingga tiga kali ganda pada sambutan Aidiladha bulan depan apabila perantau mula pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Ini kerana Kelantan merupakan negeri tertinggi mencatatkan kes demam denggi dan dikhuatiri perantau akan membawa demam berkenaan pulang ke tempat mereka mencari rezeki selepas cuti perayaan tamat.

“Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu juga kini tidak boleh menampung jumlah pesakit demam denggi kerana wad khas yang dibuka bagi menangani kes berkenaan sudah pun penuh dan hanya menerima pesakit-pesakit kritikal sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, Jabatan Kesihatan Kelantan akan memastikan pesakit tidak kritikal untuk menerima rawatan sebaiknya dan ditempatkan di hospital-hospital kerajaan yang berdekatan.

Dr Zaini akan menggiatkan kempen menjaga kebersihan di kawasan sekitar rumah selain mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menyebabkan nyamuk aedes membiak.

Sumber: Awani

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.