fbpx
Now Reading
Kerajaan Beri Diskaun 2 Peratus Bil Elektrik Selama 6 Bulan

Kerajaan Beri Diskaun 2 Peratus Bil Elektrik Selama 6 Bulan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Diskaun bil elektrik akan diberikan kepada semua pengguna elektrik selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 September, umum Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut beliau diskaun itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar berikutan kesan penularan wabak Covid-19

Selain itu kerajaan turut bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik sebanyak 15 peratus kepada enam sektor perniagaan terpilih, iaitu hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Diskaun 15% buat 6 sektor perniagaan

“Diskaun 15 peratus ini membabitkan kira-kira 10,000 pemilik akaun daripada enam sektor perniagaan terpilih yang mengguna pakai Tarif Perdagangan sahaja.

“Pemberian diskaun bagi tempoh ini juga akan memberi impak pengurangan bil elektrik RM40 juta bagi Semenanjung, RM20 juta bagi Sabah dan RM8.5 juta bagi Sarawak,” katanya

Tambahnya lagi manfaat itu juga akan dinikmati pengguna komersial, industri dan pertanian dengan memperoleh dua peratus diskaun dalam tempoh yang sama.

Domestik dan Kediaman penjimatan sebanyak 2%

Buat pengguna kategori domestik dan rumah kediaman, mereka turut menikmati penjimatan bil elektrik iaitu sebanyak dua peratus bagi tempoh yang sama.

Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun dua peratus dalam tempoh tersebut, sebagai tambahan kepada enam peratus yang telah pun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini. Ia dijangka memberi anggaran penjimatan dalam bil elektrik sebanyak RM92 juta, kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB.

“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggar sekitar RM5.7 juta manakala bagi Sarawak, ia akan memberi manfaat kepada 585,637 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM6.8 juta,” katanya.

Kerajaan tanggung kos

Dalam pada itu Dr Shamsul turut memaklumkan segala kos pemberian diskaun bil elektrik itu akan ditampung kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi Semenanjung manakala untuk Sabah dan Sarawak pula kosnya ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.