fbpx
Now Reading
Penghuni Menara City One Diarah ‘Berkurung’

Penghuni Menara City One Diarah ‘Berkurung’

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Selepas penduduk Simpang Renggam dan beberapa kawasan di Hulu Langat di arah menjalankan Perintah Pergerakan Kawalan Diperketatkan (PPKD), terbaru penduduk di Menara City One di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur turut diarahkan berbuat perkara sama bermula malam ini

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan tersebut membabitkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium serta premis perniagaan di dalam menara itu.

Arahan tersebut difahamkan dikeluarkan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan 17 kes positif Covid-19 di menara terbabit.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari PKPD dilaksanakan.

“Justeru, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh itu perintah itu dikuatkuasakan.

“Selain itu, semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara itu,” katanya dalam kenyataan media, petang Isnin.

Tambah Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, para penghuni bagaimanapun dibenarkan membuat pesanan makanan yang boleh dihantar ke lobi keselamatan pintu utama menara saja.

“Susulan itu, Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD berkenaan dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan mengawal seluruh kawasan.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Mana-mana penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas di 03-26943243, 03-40267222 atau 013-3295141.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.