Diskaun 70 peratus saman JPJ, SPAD sepanjang Ogos
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Diskaun 70 peratus ditawarkan bagi pembayaran saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula 1 hingga 31 Ogos ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tawaran diberikan sempena bulan kemerdekaan itu adalah bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.
“Sebanyak 70 peratus pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah akta yang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wee berkata pengurangan saman itu dilaksanakan di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta saluran pembayaran lain JPJ seperti portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.
Katanya, bagi kesalahan yang telah disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.