Cetus Panik, Wanita Sorok ‘Gelang Pink’ Untuk Membeli Belah
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tindakan seorang wanita dengan gelang ‘pink’ yang mengunjungi sebuah pasar raya di Melaka menimbulkan perasaan kurang senang terhadap para pelanggan kerana sikapnya yang tidak bertanggungjawab itu.
Wanita berkenaan dipercayai menyembunyikan gelang kuarantin berkenaan untuk membeli barangan bagi menyambut perayaan Deepavali yang bakal menjelang.
Sehubungan itu, dia yang seharusnya menjalani kuarantin sehingga Khamis ini mengunjungi pasar raya berkenaan bersama saudara lelakinya. Tanpa disedari, pergerakannya diperhatikan oleh beberapa orang awam sebelum dia dilaporkan kepada pengawal keselamatan pasar raya di sana.
Dalam pada itu, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang juga Ketua Polis Daerah Melaka Tengah itu mengesahkan bahawa wanita berkenaan telah pun melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pengawal keselamatan itu mengarahkan wanita terbabit keluar dari premis dan memintanya menunggu di hadapan pejabat pengawal keselamatan sebelum menghubungi Balai Polis Batu Berendam,” katanya.
“Sementara menunggu ketibaan polis, pengawal keselamatan itu menyoal siasat wanita terbabit dan mendapati dia datang ke pasar raya berkenaan bersama seorang saudara lelakinya sebelum dia diarahkan memanggil saudaranya itu,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar tempatan.
Dalam pada itu, Afzanizar berkata mereka telah pun diarahkan pulang dan menyambung semula kuarantin di rumah sambil diiringi kereta polis bagi memastikan mereka sampai ke rumah.
Biarpun begitu, siasatan mendapati wanita berkenaan merupakan Orang Di Bawah Pengawasan (PUS) dan tempoh kuarantin terhadapnya akan tamat pada 12 November ini.
“Tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun wanita itu sudah dimaklumkan untuk menyerah diri ke balai polis selepas tamat tempoh kuarantin serta menunjukkan keputusan ujian Covid-19 ke atasnya negatif.
“Siasatan ke atas wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya lagi.