Now Reading
Gara-Gara Marah Ditegur Leka Bermain Telefon, Si Anak Tergamak Bunuh Bapa Kandung

Gara-Gara Marah Ditegur Leka Bermain Telefon, Si Anak Tergamak Bunuh Bapa Kandung

Akibat berang ditegur terlalu kerap bermain telefon, lelaki ini tergamak bunuh bapa kandung di rumah mereka yang terletak di Kampung Simpang Pertang, Jelebu.

Ketika kejadian, hanya mereka berdua yang berada di rumah dan berlaku perselisihan faham di antara suspek dan juga mangsa sehingga suspek bertindak menikam bapanya sampai mati.

Foto sekadar hiasan. Kredit: Perak Today

Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, kira-kira jam 9.30 pagi pihak polis menerima maklumat dari orang awam yang menjumpai mangsa terbaring berhampiran pintu rumah dalam keadaan berlumuran darah.

“Berdasarkan siasatan awal, berlaku pertengkaran mulut di antara suspek yang berusia 35 tahun itu dengan bapanya, 59, yang menegur suspek kerana terlalu leka bermain telefon pintar.

“Ketika bertengkar, mangsa juga memukul suspek dengan kerusi plastik menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa pada bahagian depan dan belakang badan,” katanya.

Foto sekadar hiasan. Kredit: New York Post

Katanya, suspek melarikan diri bersama motosikal miliknya sebelum berjaya ditahan oleh pihak polis kira-kira 20 minit selepas kejadian.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati suspek tinggal bersama ibu bapanya di rumah terbabit dan suspek dikatakan tidak bekerja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sana.

Susulan itu, Maslan berkata pihaknya masih lagi menyiasat motif kejadian dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh.

© 2020 BuzzKini. All Rights Reserved.