
[Terkini] PKP Di Kuala Lumpur Serta Beberapa Daerah di Johor, Perak & Terengganu
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sehari selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di 6 daerah di Selangor yang akan bermula esok, kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa lagi kawasan iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Johor, Perak & Terengganu.
Keputusan tersebut diumumkan Menteri Kanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan media pada petang rabu.
Jelas beliau keputusan melaksanakan PKP bermula dari 7 Mei – 20 Mei 2021 di kawasan ini diambil selepas meneliti pembentangan serta cadangan daripada Kementerian Kesihatan.

“Sejak 1 April sehingga 27 April 2021, KKM mengesahkan sebanyak 17 kluster baru telah direkodkan di seluruh WP Kuala Lumpur dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat,” katanya hari ini.
Selain Kuala Lumpur, beberapa daerah di Johor, Perak & Terenganu turut dikenakan PKP iaitu Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi di Johor, manakala Mukim Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama di Perak serta 14 mukim di daerah Besut iaitu Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.
Kawasan terlibat (PKP 7 Mei – 20 Mei 2021)
Negeri | Mukim/ Daerah Terlibat |
W.P Kuala Lumpur | Seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur |
Johor | Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi |
Perak | Mukim Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama |
Terengganu | 14 Mukim di Daerah Besut (kecuali Hulu Besut) Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut |
SOP sama seperti diumumkan sebelum ini
Tambah beliau prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP kali ini adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelumnya.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP di Kuala Lumpur sama seperti diumumkan sebelum ini antaranya tidak boleh merentas negeri kecuali atas urusan kerja dan kecemasan.
“Premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 12.00 malam sahaja dan tidak dibenarkan dine-in.
“Kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 10.00 malam,” katanya dalam kenyataan itu lagi.