Mangsa Nahas LRT Dapat Bantuan RM 1,000
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang semalam dikejutkan dengan insiden kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menyebabkan 47 parah manakala 166 lagi cedera ringan.
Kemalangan di LRT aliran Kelana Jaya tersebut membabitkan tren tanpa pemandu (automatik) dari Gombak yang membawa sebanyak 213 penumpang dengan sebuah tren kosong berpemandu.
Baca artikel berkaitan : Prasarana Sahkan Terdapat Insiden Kemalangan LRT Laluan Kelana Jaya Berhampiran Stesen Kg Baru
Sehubungan itu Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini dalam satu sidang media berkata, pihak mereka akan membantu dengan memberi bantuan sebanyak RM 1,000 kepada semua 213 penumpang.
Selain itu Prasarana juga akan menanggung kos rawatan dan perubatan mangsa yang terbabit. Manakala mangsa yang kehilangan kerja ekoran insiden berkenaan juga akan diberikan bantuan kewangan sewajarnya.
“Syarikat berdukacita dengan kejadian ini dan mengambil tanggungjawab penuh untuk membantu mangsa yang terbabit.
“Bantuan khas, kos rawatan dan pembayaran pampasan akan diberikan dalam masa terdekat kepada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.
Operasi berjalan seperi
Menurut Tajuddin setakat ini perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa namun Prasarana menyediakan bas pengantara pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan di stesen berdekatan.
Mengulas lanjut mengenai keadaan semasa mangsa yang sedang dirawat, Tajuddin menjelaskan enam penumpang dilaporkan kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Seramai 15 lagi penumpang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun dilaporkan stabil.
“Dalam kejadian semalam seramai 64 penumpang cedera dikejarkan ke HKL dan ada di antara mereka yang sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.
Perlu 3 hari untuk alihkan tren
Tambahnya lagi memerlukan tiga hari untuk mengalihkan kedua-dua tren yang terlibat semalam.
“Prasarana memberi jaminan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang dan meningkatkan perkhidmatan pada masa akan hadapan,” katanya.
Baca artikel berkaitan : Insiden LRT : 47 Parah & 166 Cedera Ringan, MOT Tubuhkan Pasukan Khas Siasat Insiden
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut turun padang melihat kejadian berkenaan memaklumkan kementeriannya akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden berkenaan.
Bagaimana pendapat anda? Adakah anda bersetuju dengan bantuan RM1,000 tersebut?