[Terkini] Umno Tarik Balik Sokongan Terhadap Muhyiddin Yassin Serta Merta – Zahid
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
UMNO hari ini mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta.
Perkara tersebut dimaklumkan Presidennya Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi menerusi sidang media secara maya sebentar tadi.
Keputusan tersebut diambil tidak sampai sehari selepas pelantikan Ismail Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Dato Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.
Menurut Zahid, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin sebelum ini gagal dilaksanakan.
Desak PM berundur secara terhormat
Tambahya Muhyiddin juga seharusnya berundur secara terhormat supaya PM baharu dapat dilantik bagi menggantikan Muhyiddin. Dia bagaimanapun tidak menamakan sebarang nama yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.
“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada 7 kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Dato‘ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin selaku Perdana Menteri DITARIK BALIK dan DITAMATKAN serta merta.
“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Dato‘ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad” jelas Zahid lagi.
Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung lebih 4 jam ini juga turut menegaskan tidak akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM atau kerajaan ditunjangi oleh parti DAP dan PH.
“Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH ” katanya lagi.