fbpx
Now Reading
Setuju Sokong Ismail Sabri Sebagai PM, Namun Ini 2 Syarat Yang Diberikan Perikatan Nasional

Setuju Sokong Ismail Sabri Sebagai PM, Namun Ini 2 Syarat Yang Diberikan Perikatan Nasional

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perikatan Nasional (PN) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bersetuju dan sepakat untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baru secara bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan berkata sokongan itu diberikan oleh 50 Ahli Parlimen dari parti-parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Bersatu, 18 Pas dan satu daripada STAR termasuk empat bebas.

Antara syarat yang dikemukan bekas Perdana Menteri itu ialah :

1.Sekiranya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

2.Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhyiddin lagi, beliau telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

Keputusan itu jelasnya diambil demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga mandat dikembalikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Keputusan ini juga bermakna Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa”

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau isnin lalu telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas memaklumkan sudah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen selain cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya tidak mendapat sokongan parti pembangkang.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.