fbpx
Now Reading
Harga Runcit Maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Kini RM 19.90

Harga Runcit Maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Kini RM 19.90

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengumumkan kerajaan telah pun membuat penetapan bahawa harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan adalah RM19.90

Mula berkuat kuasa pada Ahad ini, 5 September keputusan tersebut yang dilakukan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ)  turut menetapkan borong maksimum bagi kit ujian sama pula pada harga RM16 satu set.

Menurut Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, penentuan harga itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Ia juga bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

“Penentuan harga maksimum kit ujian ini dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Penetapan harga maksimum ini dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini,” katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap kit ujian kendiri tersebut dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas dari wabak.

“KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” tambahnya.

Foto : Malaymail

Dalam pada itu KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan penetapan harga berkenaan. 

Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda.

“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya. 

KJ menerusi Twitternya turut berkongsi perkara tersebut kepada orang ramai.

Beliau bagaimanapun turut menambah yang kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberikan kit ujian ini secara percuma kepada golongan keluarga B40.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.