PRN Melaka : Semua Majlis Rasmi Kerajaan & Swasta Tidak Dibenarkan Dari 4 – 27 November
Namun kelonggaran dibenarkan bagi mesyuarat parti dengan kapasiti 50% ruang dan pematuhan penjarakan fizikal.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum pasti mengetahui Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung pada 20 November ini dengan pagi tadi menyaksikan berlangsungnya proses penamaan calon bagi semua 28 kerusi.
Ianya ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.
Sebagai usaha mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) kemudiannya memaklumkan sebarang perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan berkuat kuasa dari 25 Oktober sehingga 27 November.
Terbaharu MKN Negeri Melaka menerusi satu kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini turut memaklumkan segala majlis rasmi kerajaan dan swasta juga tidak dibenarkan diadakan di sana bermula dari 4 November lalu.
Selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya juga dilarang sejak 25 Oktober hingga 27 November ini seperti yang diumumkan KJ.
Bukan itu sahaja, sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan juga adalah dilarang.
Menerusi laporan Bernama, MKN bagaimanapun memberikan sedikit kelonggaran bagi mesyuarat parti di sana tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal selain hanya untuk individu yang telah lengkap divaksin.
Selain itu, MKN turut membenarkan aktiviti sidang media selepas mesyuarat parti dengan SOP asas iaitu pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Sebagai rekod, Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar.
Dari jumlah tersebut, 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki manakala baki 254,666 atau 51.43% adalah wanita.