Singapura Henti Tanggung Bil Perubatan Pesakit Covid-19 Yang Enggan Divaksin
Individu yang belum menerima dos lengkap pula akan terus ditanggung sehingga 31 Disember 2021.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kerajaan Singapura baru-baru ini mengumumkan pesakit positif Covid-19 yang enggan divaksin kini perlu menanggung kos perubatan sekiranya mendapatkan rawatan atau dimasukkan ke hospital mulai 8 Disember depan.
Menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), keputusan tersebut diambil selepas majoriti golongan tersebut kini membentuk kumpulan besar yang memerlukan jagaan rapi sekaligus memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan ekoran lonjakan kes yang begitu luar biasa sejak bulan lalu, lapor CNA.
“Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa terhadap pesakit COVID-19 yang layak mendapat vaksinasi, namun memilih untuk tidak berbuat demikian,” kata kementerian itu.
Bagi individu yang belum menerima dos lengkap pula, kerajaan Singapura akan terus menanggung kos perubatan mereka sehingga penghujung tahun ini.
Difahamkan bermula 1 Januari 2022, pemerintah di sana hanya akan menanggung sepenuhnya kos perubatan rakyat tempatan, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang sudah menerima dos lengkap serta tidak melakukan perjalanan ke luar negara.
Selain itu kerajaan juga akan terus menanggung bil perubatan untuk golongan yang tidak layak divaksinasi seperti atas faktor kesihatan dan juga kanak-kanak di bawah 12 tahun.
Mereka akan meggunakan pendekatan ini sehingga kes Covid-19 di sana kembali menjadi stabil.
Sebagai rekod, kerajaan Singapura ketika ini masih lagi menanggung sepenuhnya bil perubatan COVID-19 semua penduduknya termasuk pendudu tetap dan pemegang jangka panjang.
Ini juga termasuk buat mereka yang diuji positif sebaik pulang ke negara berkenaan.