fbpx
Now Reading
JKNS Kesan Kes Kolera Libatkan Wanita 56 Tahun Di Daerah Petaling, Selangor

JKNS Kesan Kes Kolera Libatkan Wanita 56 Tahun Di Daerah Petaling, Selangor

Semua kontak rapat juga telah disaring termasuk pengendali makanan yang terlibat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah mengesan satu kes taun atau kolera di daerah Petaling, Selangor.

“Orang awam dinasihati hanya minum air dirawat atau dididihkan, jaga kebersihan kendiri, jangan makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna,” tulis Khairy Jamaluddin di akaun Twitter.

Beliau dalam masa sama memaklumkan maklumat lanjut mengenai kes itu akan dimaklumkan kemudian.

Pesakit wanita berusia 56 tahun

Terbaharu hari ini, Pengarah JNKS, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Bin Ngadiman menerusi satu kenyataan media memaklumkan kes tersebut melibatkan seorang wanita warganegara berusia 56 tahun pada 21 Oktober lalu.

“Hasil siasatan mendapati pesakit telah mengalami gejala cirit birit teruk dan telah mendapatkan rawatan pada hari sama di sebuah fasiliti kesihatan swasta.”

Pesakit kemudian dirawat sebagai pesakit luar dan hasil ujian terhadap sampel najis menunjukkan kehadiran bakteria Vibrio Cholerae, serogroup O1, serotype Ogawa.

Sehubungan itu, semua kontak rapat telah disaring termasuk pengendali makanan yang terlibat.

Jelas beliau lagi, pesakit bagaimanapun sudah pulih sepenuhnya setelah mendapatkan rawatan dan setakat ini tiada kes baru yang diterima oleh Jabatan Kesihatan.

“Pengambilan sampel persekitaran juga telah dijalankan. Sehingga kini tiada tambahan kes positif Kolera dikesan. Kes juga telah sihat sepenuhnya setelah mendapatkan rawatan yang sewajarnya”

Tidak dapat kenalpasti punca jangkitan

Menerusi kenyataan sama, Dr Sha’ari menjelaskan pihaknya sudah menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh namun tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan.

“Oleh itu, seiring dengan saranan KKM, JKNS ingin menegaskan bahawa penyakit kolera berupaya merebak dengan cepat dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

“Justeru masyarakat diseru untuk sentiasa minum air yang telah dirawat atau air yang telah dididihkan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan, mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mempunyai gejala kolera dan tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna”

Pengarah JNKS, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Bin Ngadiman

Tambah beliau lagi, JKNS akan memantau situasi semasa di Selangor bagi membendung penularan wabak tersebut.

Sebagai info, Kolera merupakan penyakit ‘enteric akut’ disebabkan bakteria ‘vibrio cholerae’ yang mana gejala awal adalah cirit-birit tanpa sakit, loya serta muntah dan boleh membawa kepada dehidrasi serta kematian.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.