fbpx
Now Reading
Isu Kes SRC: Mahkamah Tolak Rayuan Najib, Kekalkan Sabitan & Hukuman Penjara 12 Tahun Serta Denda

Isu Kes SRC: Mahkamah Tolak Rayuan Najib, Kekalkan Sabitan & Hukuman Penjara 12 Tahun Serta Denda

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa Najib sememangnya mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta tahu mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas 7 pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menurut Awani, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan tersebut selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dengan mensabitkannya dengan tuduhan berkenaan.

Panel hakim Mahkamah Rayuan mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit dan memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah betul dan tidak perlu diubah apabila mendapati bahawa tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Sehubungan itu Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib pada 28 Julai 2020 atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Difahamkan bagi prosiding hari ini, tiada kehadiran fizikal daripada pasukan pembelaan selepas semua mereka termasuk Najib terpaksa menjalani perintah kuarantin ekoran salah seorang peguam didapati positif Covid-19.

Barisan panel juga bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib yang merupakan Perdana Menteri pada waktu itu mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa Najib sememangnya mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta tahu mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.

“Najib adalah satu-satunya yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat pengarah dalam SRC.

“Bukti menunjukkan bahawa mereka mengikut arahan Najib dan tiada bukti mengatakan mereka tidak,” kata beliau seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Mahkamah turut memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan bagi menyukarkan pengesanan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu mempunyai kepentingan peribadi dalam kelulusan kabinet bagi pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada KWAP.

“Najib diberikan kuasa khas dalam SRC atas peranannya sebagai Perdana Menteri. Najib dalam pembelaannya mendakwa beliau bertindak atas kepentingan nasional,

“Ini bukan kepentingan nasional, ini adalah memalukan nasional,” katanya.

Pasukan pembelaan yang diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana ingin mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sebagai info, dengan pengekalan sabitan dan hukuman ini, Najib kini hanya mempunyai satu lagi ‘talian hayat’ iaitu Mahkamah Persekutuan.

Foto : Malaymail

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.