Aktivis Masyarakat, Abang Ali Semboyan Malaysia Meninggal Dunia
Menerusi beberapa hantaran tular di media sosial, Allahyarham Abang Ali dikhabarkan meninggal dunia selepas terlibat dengan satu kemalangan motosikal di Pagoh, Johor.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Aktivis masyarakat, Ali Bin Salimin atau lebih dikenali sebagai Abang Ali PPIM atau Abang Ali Semboyan Malaysia dilaporkan meninggal dunia.
Khabar duka mengenai pemergian Allahyarham dikongsikan sahabat beliau, aktivis Yusuf Azmi menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurut Yusuf, beliau kini sedang dalam perjalanan ke Hospital Muar, Johor untuk menuntut dan memandikan jenazah arwah.
Beliau dalam masa sama turut meminta jasa baik ramai untuk mendoakan arwah Abang Ali.
“Saya Yusuf Azmi mohon doa saudara-saudari semua bermurah hati sedekahkan surah Al-Fatihah buat Allahyarham Ali Bin Salimin (Abg Ali).
“Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, Sejahtera Dan maafkanlah dia,” tulis aktivis itu lagi.
Dipercayai terlibat kemalangan
Menerusi beberapa hantaran tular di media sosial, Allahyarham Abang Ali difahamkan meninggal dunia selepas terlibat dengan satu kemalangan motosikal di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Pagoh, Johor.
Di dalam hantaran sama, turut dikongsikan beberapa foto termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi dipercayai milik arwah yang terlibat di dalam nahas tersebut.
Sebagai info, Abang Ali dikenali sebagai salah seorang individu penting yang banyak membantu masyarakat khususnya mangsa ceti haram dan ahlong.
Selain itu arwah turut aktif membantu orang ramai yang hidup dalam kesusahan sewaktu bersama Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan kini bersama Semboyan Malaysia di samping sahabat baiknya, Yusuf Azmi.