fbpx
Now Reading
Umrah Kembali Dibenarkan 8 Februari Ini

Umrah Kembali Dibenarkan 8 Februari Ini

Namun setakat ini SOP baharu bagi semua jemaah belum lagi diputuskan sebaliknya akan ditetapkan bersama agensi pengurusan umrah kelak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sekitar awal Januari lalu, kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan sementara ibadah umrah berkuatkuasa pada 8 Januari ekoran dari penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sewaktu mengumumkan keputusan tersebut menjelaskan ianya akan kekal berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Terbaharu hari ini, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan kerajaan sudah membuat keputusan membenarkan umat Islam untuk kembali mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Februari ini.

Jelas beliau, keputusan ini diambil kerana kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan penangguhan berkenaan.

“Baru tadi kami buat keputusan sepertimana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh kabinet.”

Foto : Al Arabiya

Namun menurut beliau, setakat ini SOP baharu bagi semua jemaah belum lagi diputuskan sebaliknya akan ditetapkan bersama agensi pengurusan umrah kelak.

“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari umrah) nanti jemaah dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Sebagai info, Arab Saudi ketika ini turut berdepan lonjakan jangkitan kes Covid-19 ekoran varian Omicron.

Sehubungan itu kerajaan Saudi pada penghujung Disember 2021 membuat keputusan untuk kembali mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua premis baik di kawasan umum atau tertutup.

Pelaksanaan ini turut terpakai di Dua Masjid Suci iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, berkuat kuasa pada pukul 7 pagi, 30 Disember 2021.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.