Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Dua beradik warga Myanmar dilaporkan maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi.
Insiden menyayat hati yang berlaku semalam, 13 Februari 2022 itu mula disedari oleh bapa mangsa, Jamaludin, selepas dia menemukan kedua-dua mangsa iaitu Nizambudin, 4 dan adiknya Ngei Jamaludin, 2 dalam keadaan terhuyung-hayang di kawasan berhampiran tong sampah.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, si bapa yang berusia 36 tahun kemudiannya bergegas membawa kedua-dua kanak malang tersebut ke rumah jiran berhampiran.
Namun tidak sampai beberapa minit, dia mula mendapati mulut mereka berbuih dan tidak lagi bernafas.
“Beberapa minit selepas itu, dua kanak-kanak itu dapati tidak bernafas sebelum penduduk kampung menghubungi pihak polis,” kata Shariman Ashari yang turut memaklumkan kedua-dua mereka meninggal dunia pada jam 5.40 petang.
Tiada rumah, si bapa ambil upah baiki bot dan buat kerja kampung
Sewaktu kejadian, bapa mangsa dipercayai sedang keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.
Keluarganya difahamkan tidak mempunyai kediaman tetap sebaliknya hanya menumpang di rumah jiran.
Tambah beliau, mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai makan sisa makanan diperoleh dalam tong sampah di kawasan mereka ditemui.
“Pengesahan kematian mereka dibuat oleh petugas perubatan dan kedua-duanya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk ujian saringan Covid-19 dan proses bedah siasat,” ujarnya lagi.