fbpx
Now Reading
Ebit Lew Mengaku Tidak Bersalah, Dakwa Pertuduhan Cuba Rendahkan Maruahnya

Ebit Lew Mengaku Tidak Bersalah, Dakwa Pertuduhan Cuba Rendahkan Maruahnya

Malah beliau percaya semua ini sudah dirancang dalam tempoh masa yang agak lama.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pendakwah dan aktivis terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL) pagi tadi 18 Februari mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan gangguan seksual selepas dihadapkan di Mahkamah Litar Tenom.

Beliau difahamkan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Menerusi laporan Kosmo, pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dibantu Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit diwakili peguam, Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Majistret Nur Asyraf Zolhani yang mendengar pertuduhan kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen manakala perbicaraan secara tentatif akan ditetapkan pada Jun depan.

UEL kemudian dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.

Hantar gambar lucah antara dakwaan terhadap Ebit

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, antara pertuduhan yang dihadapi Ebit ialah membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsaApp.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi demi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar.


“Pertuduhan tidak berasas dan melampau”

Dalam pada itu, Ebit Lew yang ditemui media menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan seolah-olah mahu menjatuhkan kredibilitinya agar berhenti daripada melakukan kerja-kerja amal.

Malah beliau percaya semua ini sudah dirancang dalam tempoh masa yang agak lama.

“Saya melihat pertuduhan ini satu pertuduhan yang tidak berasas, melampau dan memang tujuan utamanya saya nampak untuk menjatuhkan kredibiliti saya dan supaya saya nampak saya dihina, direndahkan dan supaya saya menghentikan kerja-kerja membantu.

“Saya yakin dan percaya perkara ini sesuatu yang sudah dirancang oleh sekumpulan individu dan ia bukan dirancang dalam sehari dua.

“Sebenarnya, saya baru tahu mengenai pendakwaan ini beberapa hari lepas dan saya agak terkejut. Saya datang ke Sabah bukan rancang untuk ke mahkamah, saya dalam misi melakukan kerja amal,” katanya dipetik dari Utusan.

Mengakui ujian sebegini amat berat, Ebit bagaimanapun percaya itu adalah ujian yang perlu dihadapinya.

“Apabila kita ditentang ketika buat kebaikan maka, tidak perlu bersedih kerana ujian yang datang ini sudah menjadi sunat. Walaupun kita berusaha sehabis baik namun, saya rasa bersyukur dengan ujian ini,” katanya.

Terdahulu, beliau tiba di perkarangan mahkamah litar di pejabat daerah Tenom, sekitar jam 9 pagi sambil diiringi beberapa individu dipercayai pembantunya.

Baca artikel berkaitan :

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.