Wajib Dua Dos Vaksin & Penggalak Untuk Solat Jumaat Di Selangor Bermula 25 Februari
Difahamkan ianya berdasarkan satu ketetapan terkini yang telah diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada pengurusan masjid, surau dan musolla di negeri itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bermula 25 Februari ini, jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di seluruh masjid di Selangor perlulah lengkap menerima dua dos vaksin dan dos penggalak.
Menurut laporan BH, ianya berdasarkan satu ketetapan terkini yang telah diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada pengurusan masjid, surau dan musolla di negeri itu.
Langkah ini difahamkan sejajar dengan arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID-19.
Surat edaran terhad bertarikh 21 Februari itu menyatakan Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan mengekalkan ketetapan solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan JAIS pada 20 Januari lalu.
Namun ekoran dari peningkatan kes penularan COVID-19 dan kebimbangan baginda akan berlaku situasi lebih buruk yang akan menjejaskan semua aktiviti di masjid, surau dan musolla semasa, baginda yang mendapat nasihat dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkenan agar pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.
Antara perkara yang ditekankan dalam edaran itu adalah jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak (booster) dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat.
“Pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal 1.0 meter.
“Selain itu, jemaah perlu mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia kala iaitu sihat dan tidak bergejala, memakai pelitup muka, membawa sejadah besar dan berwuduk, selain mempamerkan dan merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera,” menurut edaran itu.
Carian kami kemudian mendapati surat berkenaan sudah mula berlegar di media sosial sejak pagi Rabu, 23 Februari 2022.
Namun penelitian kami pada surat berkenaan mendapati tiada tarikh mula penguatkuasaan iaitu 25 Februari seperti yang dilaporkan media. [1] [2]
Terdahulu SelangorKini pada 19 Februari melaporkan, JAIS telah menyarankan agar individu yang mengambil dos penggalak sahaja diberi kebenaran terlibat dalam aktiviti di surau dan masjid semasa bulan Ramadan.
Namun Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari menjelaskan keputusan mengenai perkara tersebut hanya boleh dimuktamadkan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.
“Ia bukan hak saya untuk mengumumkannya tetapi saranan itu disokong Majlis Keselamatan Negeri (MKN) pengurusan pandemik Covid-19.
“Kita menunggu perkenan Tuanku untuk meluluskan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti ibadah di masjid atau surau kerana kebiasaannya menjadi tumpuan pada Ramadan,“ kata beliau.
Difahamkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor pada 14 Februari telah bersetuju untuk menimbang keperluan pengambilan dos penggalak sebagai salah satu faktor dalam kebenaran penglibatan program di surau dan masjid.