
Konvoi Bawa Keluar Rakyat Malaysia Dari Ukraine Selamat Tiba Di Sempadan Poland
Difahamkan kesemua mereka akan meneruskan perjalanan ke Warsaw dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Konvoi yang memindahkan rakyat Malaysia dari Kiev, Ukraine selamat tiba di Poland pada awal pagi tadi dan disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.
Konvoi yang melibatkan 9 rakyat Malaysia bersama 2 tanggungan warga Ukraine dan seorang warga Singapura difahamkan selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland pada jam 5.45 pagi waktu Malaysia (10.45 malam waktu tempatan).
Difahamkan konvoi yang mengharungi perjalanan darat lebih 10 jam sejauh 782 kilometer dari Kiev itu diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Kiev, iaitu Cik Fadhilah Daud.

Maklumat berkenaan dikongsikan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi satu ciapan di akaun Twitter beliau.
Alhamdulillah, konvoi yang memindahkan 9 rakyat Malaysia & 2 tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara @MYEmbKyiv, Cik Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland. pic.twitter.com/gWPCrU5lwl
— Saifuddin Abdullah 🇲🇾 (@saifuddinabd) February 26, 2022
Akan ke Warsaw sebelum pulang ke KL dalam masa terdekat
Menurut Saifuddin Abdullah lagi, kesemua mereka akan meneruskan perjalanan ke ibu negara Poland iaitu Warsaw, sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Konvoi tersebut telah disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Malaysia di Poland. Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat”
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Perkara sama turut dikongsikan Wisma Putra menerusi Twitter rasmi mereka.
“Wisma Putra sentiasa berhubung rapat dengan pegawai Kedutaan mengenai keberadaan dan keselamatan mereka srerta konvoi yang turut terlibat,” kata Wisma Putra.
The convoy of 9 Malaysians, 2 Ukrainian dependants & 1 Singaporean national evacuated from Kyiv led by Chargé d'Affaires ad interim, Ms. Fadhilah Daud, have safely arrived at Korczowa-Krakovets border of Ukraine & Poland at 5.45am on 27 Feb 2022 (local time at 10.45pm) on 26 Feb. pic.twitter.com/r5PmbvRJDj
— Wisma Putra (@MalaysiaMFA) February 27, 2022
SCMP semalam melaporkan sekumpulan diplomat Malaysia yang terkandas di Kiev sedang dalam perjalanan ke Poland menggunakan jalan darat bagi menyelamatkan diri.
Laporan ini keluar selepas Perdana Menteri memaklumkan terdapat 23 rakyat Malaysia yang berdaftar di Ukraine di mana 13 sudah berjaya meninggalkan Ukraine, manakala bakinya sedang dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu.
Jalan darat merupakan satu-satunya jalan keluar selepas Ukraine beberapa hari lalu mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk pesawat komersial ekoran terdapat risiko tinggi terhadap penerbangan awam.

Baca artikel berkaitan :