fbpx
Now Reading
Isu Beg Sekolah Berat, KPM Akan Sediakan Lokar Di Sekolah Rendah

Isu Beg Sekolah Berat, KPM Akan Sediakan Lokar Di Sekolah Rendah

Bagi sekolah satu sesi pula, pelajar akan dibenarkan untuk menyimpan buku di dalam laci meja kelas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu beg sekolah yang berat khususnya di kalangan pelajar sekolah rendah bukanlah masalah baharu di negara kita. Malah perkara ini sudah menjadi polemik yang tidak berkesudahan dan sering diperbahaskan setiap kali sesi persekolahan dibuka.

Foto : Majalah Dewan Masyarakat

Namun selepas lebih 30 tahun tahun tanpa sebarang penyelesaian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya mengambil satu pendekatan proaktif apabila mengumumkan akan mula menyediakan kemudahan lokar di sekolah rendah dua sesi.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, perkenalan lokar ini akan dilakukan secara berfasa di mana ia akan dimulakan untuk murid tahap satu iaitu Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga yang di sekolah yang beroperasi secara dua sesi.

Pelaksanaan fasa 1 ini akan membabitkan 10,662 kelas serta 323,186 murid di seluruh negara dengan anggaran peruntukan RM37.3 juta.

Fasa kedua pula akan diperluaskan kepada murid tahap dua iaitu Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam yang beroperasi secara dua sesi dengan KPM menjangkakan ia akan dilaksanakan pada 2023.

Murid satu sesi dibenar simpan buku dalam laci meja

Bagi sekolah satu sesi pula, Dr Radzmi memaklumkan pelajar kini dibenarkan untuk menyimpan buku dalam laci meja di kelas.

“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing,” kata Dr Radzi menerusi satu yang video dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Menurut beliau, penyediaan lokar itu adalah satu dari tujuh pendekatan yang diambil KPM bagi mengatasi isu beg berat yang membelenggu murid sejak 30 tahun lalu.

Selain itu, KPM akan melaksanakan jadual waktu yang mengehadkan jumlah mata pelajaran diajar di sekolah kepada tiga atau empat subjek sehari.

“Selain itu, jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari akan dilaksanakan mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

“Ia berdasarkan jadual waktu mengikut kitaran minggu. Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu. Ini bagi membolehkan jumlah buku teks atau aktiviti dibawa ke sekolah dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu KPM akan memberi kelonggaran kepada sekolah untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah di bawah KPM.

Bilangan buku latihan pula hendaklah tidak melebihi dua buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa dan setiap buku latihan tidak melebihi 80 muka surat.

Foto : Sakinah Hamid/ LockernLock

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.