Tular Video Konsert Abai SOP Di Johor, Polis Siasat & Akan Ambil Tindakan
Menurut beliau, video konsert itu memang jelas menujukkan terdapat ketidakpatuhan SOP.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial satu video TikTok memperlihatkan aksi sekumpulan individu yang sedang rancak menari di sebuah konsert dipercayai di Batu Pahat, Johor.
Menerusi video tersebut, jelas terlihat ada perlangaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila rata-rata mereka menari dan berhibur dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal.
@seragamhitam_ mantap gadis2x Johor 🤟🤘
♬ bunyi asal – seragamhitam_😎
Mula dikongsikan di TikTok oleh pengguna @seragamhitam_, video berkenaan kemudian mula tular dan sohor di semua platform media sosial lainnya.
Penularan video berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen di mana rata-rata dilihat mempertikaikan penganjuran konsert sedemikian di saat negara masih berdepan pandemik COVID-19.
Berlaku di Ayer Hitam dan anjuran KKMM
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Bin Dolah, hasil siasatan awal mendapat video ini dirakam pada 4 Mac 2022 selepas pelancaran program Majlis Riuh Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Namun menurut laporan MalaysiaKini, insiden ini pada mulanya terkawal sewaktu Menteri Komunikasi & Multimedia berada di sana untuk menyampaikan ucapannya.
Terbaharu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan kumpulan individu yang terlibat di dalam video tersebut.
Jelas beliau, siasatan terperinci berhubung insiden itu akan dijalankan dan tindakan diambil berdasarkan lunas undang-undang.
Pihaknya bagaimanapun sedang mengenal pasti individu-individu yang terlibat di dalam insiden berkenaan.
“Perkara seumpama itu tidak harus berlaku. Tidak boleh berpesta, ini akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan menjalankan siasatan serta ambil tindakan.
“Kalau dilihat ia sudah pasti menjadi kesalahan kerana memang tidak patuh SOP. Kita akan siasat dan akan ambil tindakan kepada mereka yang terlibat,” kata Kamarul Zaman.