fbpx
Now Reading
Tidak Lapor Penguatkuasa Korup, Addy Kana Didenda RM10,000

Tidak Lapor Penguatkuasa Korup, Addy Kana Didenda RM10,000

Addy Kana dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah tidak melaporkan permintaan suapan kepada pihak berkuasa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali dengan panggilan Addy Kana telah didenda maksimum RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah tidak melaporkan permintaan suapan kepada pihak berkuasa, tiga tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh yang menjatuhi hukuman turut mengarahkan Addy Kana dihukum penjara empat bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Dia bagaimanapun dilaporkan sudah membayar denda tersebut.

Tidak lapor pemintaan suapan oleh seorang penguatkuasa korup di Puchong pada 2019

Mengikut kertas pertuduhan, ahli perniagaan berusia 38 tahun itu didakwa tanpa alasan munasabah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong, Selangor pada Julai 2019.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Addy Kana yang bekerja dengan ahli perniagaan berunsur aktiviti tidak bermoral dan perjudian telah bertemu dengan seorang penguatkuasa di hotel berkenaan.

Diminta wang suapan RM110k sebulan untuk tutup mulut

Namun sewaktu pertemuan, penguatkuasa berkenaan telah meminta wang suapan bernilai RM110,000 setiap bulan dengan tujuan tidak mengambil tindakan atas perniagaan majikannya dan Addy difahamkan tidak melaporkan perbuatan itu kepada SPRM atau polis.

Peguam Effa Azuin Aidrul Hisham yang mewakili tertuduh kemudian memohon hukuman dalam bentuk denda dan sedia membayarnya memandangkan isteri Addy dalam pantang selepas melahirkan anak kelima selain tertuduh menjaga bapa berusia 74 tahun.

Mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta rayuan peguam, Rozilah kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 terhadap tertuduh.

“Kalau ada orang minta suapan, kamu kena laporkan. Tapi disebabkan kamu mengaku bersalah, maka mahkamah pertimbangkan tiada hukuman penjara. Saya ucapkan terima kasih kerana mengaku salah,” katanya.

SPRM dalam proses lucut aset Addy

Difahamkan, SPRM juga ketika ini sedang dalam proses permohonan melucutkan aset tertuduh bernilai RM1 juta.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.