Hanya Kerana RM4, Kanak-Kanak 11 Tahun Maut Dibelasah Senior
Kejadian dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kuatan, Pahang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sana.
Dalam kejadian pada jam sekitar 4 petang, 20 Mac itu mangsa, Muhammad Hafdan Qurbani Azhar dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh seorang senior yang berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri.
Mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di sana.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, kejadian disedari penyelia asrama yang juga pengadu apabila tiga pelajar lain termasuk suspen membawa mangsa yang tidak sedarkan diri ke rumahya.
“Pada waktu itu mangsa masih bernyawa dan pada awalnya disyaki diserang sawan, lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyelia asrama kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.
Berpunca apabila mangsa dituduh mengambil duit RM4
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan, termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua ditugaskan untuk melakukan gotong-royong membersihkan surau.
“Ketika di surau itu, suspek dipercayai mencekik dan menghempas mangsa ke lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri.
“Kejadian dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4,” kata Wan Mohd Zahari.
Bukan itu sahaja, suspek juga dikatakan tidak berpuas hati apabila mangsa dilihat tidak mengambil serius dengan apa yang dikatakannya.
Tindakan suspek bagaimanapun terbongkar memandangkan insiden yang berlaku di bangunan surau di kompleks berkenaan turut disaksikan tujuh penghuni yang lain.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat manakala suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Difahamkan kompleks rumah anak yatim ini berada di bawah seliaan kerajaan negeri dan mempunyai kira-kira 36 penghuni.