fbpx
Now Reading
Dihanyutkan Arus Sungai, Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Dikhuatiri Lemas

Dihanyutkan Arus Sungai, Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Dikhuatiri Lemas

Mangsa dikatakan sedang mandi bersama rakan-rakan sebelum disedari hilang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras semasa mandi bersama dengan rakannya di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling petang semalam (23 Mac).

Memetik laporan Bernama,Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata kejadian berlaku sekitar pada pukul 1 petang dan mangsa Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa,14, dipercayai terjatuh dan dihanyutkan oleh arus sungai.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bergegas ke tempat kejadian. Tindakan awal bomba ialah melakukan pencarian di permukaan air di sekitar lokasi berkenaan,” kata beliau.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang didapati dari saksi di lokasi berkenaan, rakan-rakan mangsa telah cuba untuk mencari mangsa, namun usaha pencarian gagal.

Rakan mangsa kemudian memaklumkan kepada keluarga mangsa dan selepas itu keluarga mangsa menghubungi pihak bomba.

Tambahnya, ketika insiden berlaku cuaca di kawasan berkenaan kelihatan baik, namun setibanya pasukan bomba hujan mulai turun dengan lebat serta mengakibatkan paras air sungai meningkat.

Situasi ini membuatkan operasi pencarian menjadi sukar dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

Dalam pada itu, AMD menerusi satu hantaran di laman Facebook turut memaklumkan Muhammad Saiful Ezzudin dan semua pelatih di bawah 14 dan 15 tahun kini sedang bercuti semester bermula pada 19 hingga 27 Mac 2022 dan berada di kampung halaman masing-masing.

“Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pihak polis dan bomba. Justeru itu, kami memohon doa dari semua agar dipermudahkan operasi pencarian yang sedang dijalankan serta semoga pelatih tersebut dapat ditemui dalam keadaan selamat,” tulisnya dalam di Facebook.

Kredit gambar: FB Baling Today Official

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.