fbpx
Now Reading
Miliki & Jual Android Box Yang Tidak Diperakui SKMM, Peniaga Didenda RM4,000

Miliki & Jual Android Box Yang Tidak Diperakui SKMM, Peniaga Didenda RM4,000

Dia didakwa menjual tiga unit Android TV Box jenama Tian Mau yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan penggunaan Android Box semakin meluas di kalangan rakyat negara kita.

Bukan sahaja mampu menawarkan kandungan perkhidmatan penstriman video yang berkualiti dan berbaloi, malah ia membolehkan pengguna melayari internet, mendengar muzik dan menonton Youtube. 

Namun harus diingatkan, sebarang cubaan untuk mengakses siaran berbayar secara haram dengan menggunakan Android Box yang mereka miliki serta mempromosi dan menjual kotak Android Box bagi mendapatkan siaran televisyen berbayar secara percuma adalah satu kesalahan.

Malah peranti ini juga perlu diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk dijual. Sekiranya tidak, ia akan dianggap sebagai peranti yang tidak sah dan haram.

Foto : SoyaCincau

Terbaharu, seorang peniaga dihukum denda RM4,000 di Mahkamah Siber Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dengan tujuan Android Box yang tidak diperakui SKMM.

Khor Ooi Heong, 42, dikenakan dengan tersebut oleh Hakim M. M. Edwin Paramjothy atau dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Lelaki itu bagaimanapun membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Khor didakwa menjual tiga unit Android TV Box jenama Tian Mau yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di Menara Uncang Emas, Kuala Lumpur pada 11.40 pagi, 9 Julai 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan-Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Sewaktu rayuan pengurangan hukuman, Khor yang tidak diwakili peguam menjelaskan syarikat miliknya yang melakukan perniagaan itu sudah pun ditutup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain itu dia juga mempunyai tanggungan isteri serta anak pertamanya yang mempunyai penyakit kanser mata.

“Isteri saya tidak kerja perlu menjaga dua anak kami. Hanya saya seorang bekerja.

“Saya sudah mengaku salah dan sekarang saya tak menjual lagi. Saya sudah berikan kerjasama kepada pihak siasatan semasa menyelesaikan kes ini. Saya merayu denda yang rendah,” katanya.

Pegawai Pendakwa dari SKKM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim bagaimanapun memohon hukuman setimpal bersifat pengajaran terhadap OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Baca artikel berkaitan :

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.