Terpedaya Penipuan Macau Scam, Pengurus Bank Rugi RM605,000
Tindakannya mendedahkan butiran akaun bank kepada suspek telah menyebabkan semua wangnya di dalam akaun lesap.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap hari pasti ada sahaja kisah mangsa yang terjerat dengan penipuan wang ringgit malah mangsa yang ditipu juga mengalami kerugian yang sangat besar.
Terbaharu, seorang wanita yang merupakan pengurus bank di Kuala Lumpur membuat satu laporan polis setelah menjadi mangsa penipuan Macau Scam dan mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM605,000.
Terima panggilan telefon daripada ‘Suraya Sani’
Menurut laporan Bernama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 53 tahun itu mendakwa lebih kurang jam 5 petang pada Januari lalu, beliau mendapat panggilan telefon dari seseorang bergelar ‘Suraya Sani’ yang menyatakan dia dari Ibu Pejabat Etiqa di Seremban.
Menurutnya, ‘Suraya’ memberitahu bahawa terdapat individu yang menggunakan nama pengurus bank itu bagi membuat pampasan.
Panggilan kemudian disambungkan kepada ‘Sarjan Hairul Mohd Musa’ yang dikatakan daripada Balai Polis Pudu.
Memetik laporan Berita Harian, Aibee berkata lelaki yang mendakwa dirinya sarjan itu, memaklumkan kepada mangsa bahawa maklumatnya sudah terdedah serta berkait dengan satu kes jenayah komersial di Sabah.
“Lelaki itu kemudian menyambungkan panggilan kepada ‘Inspektor Azrai’ yang memaklumkan mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang. Mangsa selepas itu disambungkan pula kepada seorang individu, kononnya pendakwa raya bernama ‘Mastura’ di talian 011-39462446,” jelasnya.
Tunjuk dokumen kononya waran tangkap
Tambah Aibee, pengurus bank itu kemudian ditunjukkan satu dokumen yang kononnya itu adalah waran tangkap. Demi menyelesaikan ‘masalah’ dia menyuruh wanita tersebut memindahkan wang daripada akaun ASNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masing-masing bernilai RM425,000 dan RM180,000 ke akaun Bank Islamnya.
Pengurus bank itu turut diminta agar tidak memeriksa akaun Bank Islamnya atas alasan untuk siasatan polis.
Dia yang berasa curiga kemudian bertindak untuk memeriksa akaun Bank Islamnya dan mendapati wang di dalam akaun tersebut telah tiada dan terus membuat membuat laporan polis pada 22 Mac.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata Aibee.